Isnin, 20 September 2010

Catatan Aidilfitri, 2010 Penuh Makna...

Assalamualaikum..dan salam 1 Tok Wan!!!

Sebelum jari-jemari saya terus menari di dada blog tercinta ini, izinkan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" buat semua anak, cucu, cicit serta kaum kerabat Tok Wan Lebai Din. Saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, kalau di sepanjang hayat saya terdapat salah dan silap serta halalkan makan dan minum saya...benar kata pujangga "1001 gurauan belum tentu boleh mengukirkan 1 senyuman...tetapi dengan hanya 1 sindiran, sudah cukup untuk melukakan hati seseorang...
Lisan kekadang tak terjaga...
Janji kekadang tak terlaksana...
Hati kekadang berperasangka...
Sikap kekadang menyakitkan...
Hidup ini menjadi lebih indah...
Jika kita saling bermaafan...
Ya Allah...
Muliakan Saudaraku...
Bahagiakan keluarganya..
Berkati Rezekinya...
Kuatkan Imannya...eratkan Silatur rahim di antara kami....
Fuh!!! Aidilfitri kali ini begitu bermakna sekali. Apa tidaknya, buat kali pertama dalam hidup saya berhariraya di 5 buah negeri sekali gus...(Raya Sakan!!!). Mula-mula beraya kat kampung mertua di Terengganu. Hari raya pertama, kedua dan seterusnya ketiga, saya sekeluarga tidak dapat bergerak kemana-mana, hanya sempat menziarahi bapa saudara dan nenek saudara isteri saya yang agak tua dan uzur sahaja...selebihnya sibuk melayan tetamu yang tak putus-putus datang menziarahi bapa mertua saya yang sedang uzur. Letih..tetapi terharu bila menyaksikan golongan muda yang sihat walaafiat menziarahi orng tua yang sedang uzur. Ternyata sekali amalan ziarah menziarahi terutama oleh sanak saudara masih menjadi amalan dari satu generasi hingga ke satu generasi umat islam di seluruh pelusuk dunia.
Raya ke-empat, saya sekeluarga berangkat pulang ke Kuala Lumpur bagi memulakan tugas saya seperti biasa. Alhamdulillah..semuanya berjalan dengan lancar dan 16hb.Sept,2010 merupakan cuti umum seluruh negara bagi menyambut Hari Penubuhan Malaysia. Saya mengambil peluang ini untuk menambah 1 hari lagi cuti (jumaat) bagi meluangkan masa menziarahi keluarga di bahagian utara semenanjung pula.

Kesempatan terluang ini saya isikan dengan menziarahi adik, kakak, abang serta keluarga terdekat di Perak. Hari Sabtu selepas subuh, saya sekeluarga memulakan "ekpidisi" mengunjungi kaum keluarga kita (kerabat Lebai Din) pula di sebelah utara semenanjung. Saya mulakan dengan menziarahi rumah Pak Long Mat di BakarArang, Sg. Petani. Alhamdulillah...gembiranya saya tak terhingga dapat bersua dengan Pak Long Mat yang kelihatan masih kuat dan bersemangat walaupun pada ketika itu beliau tengah berpuasa enam (syawal). Masa saya tiba, Kak Muriah (anak Pak Long yang ke-tiga) tengah sibuk mengopek kelapa untuk buat ketupat bagi menyambut raya enam. Belum sempat saya meninggalkan rumah Pak Long Mat, Kak Murni (anak sulong Pak Long) dan keluarganya pula tiba. Sempat juga saya bersalaman dengan Kak murni dan suaminya serta anak-anaknya. Kebetulan saya di situ, Kak Muriah menjemput saya sekeluarga ke rumahnya yang tak jauh dari situ. Peluang yang baik ini saya sambut dengan senang hati. Dapat juga saya berkenalan dengan keluarga Kak Muriah. Saya sekeluarga dijamu dengan bihun goreng dan kuih raya...sedap!!!. Terima kasih buat keluarga kak Muriah yang begitu ramah melayan kami sekeluarga.

Keluar dari rumah Kak Muriah, saya terus menghubungi Abang Ayob (anak Mak Cik Mariam) di Guar Cempedak. Malangnya beliau ketika itu berada di Penang atas urusan kerja. Hasrat hati nak ziarah keluarga Abang Ayob tapi terpaksa ubah haluan mencari Kak Cik Wa Omar pulak. Alhamdulillah...Kak Cik sedia menanti kedatangan kami dan pada ketika itu, Abang Harun (adik Kak Cik) dan Abang Ad (langkawi) ada bersama-sama di rumah kak Cik menziarahi Wa Omar. Setiba ke rumah Kak Cik, Wa Omar kelihatan begitu ceria menyambut kedatangan kami sekeluarga. Saya begitu terharu dengan Wa Omar yang begitu semangat bercerita..walaupun dengan kesihatannya yang menampakkan kepenatan. Datang keinsafan di dalan diri saya akan kebenaran kata-kata penulis sebuah buku yang saya baca kira-kira maksudnya, "Kebahagian seorang (ibu / bapa) adalah tatkala anak-anaknya datang menziarahinya ketika ia memerlukan. Dia (ibu / bapa) akan bercerita dan terus bercerita dan menjadi tanggungjawab anak-anaknya untuk terus mendengar kerana mereka (anak-anaknya) akan merindui cerita-ceritanya apabila dia (ibu / bapa) telah pergi buat selama-lamanya. Ya Allah...bukakan pintu hati kami untuk menyayangi mereka (ibu / papa) kami dan menyintaiMu dan rasulMu ya Allah...
Kami sekeluarga sempat solat zohor dan asar (jamak) serta makan tengahari di rumah Kak Cik. Kesian kak Cik yang bertungkus-lumus memasak dan menyediakan makan tengahari untuk kami. Sedap makan nasi dengan ikan pekasam (lauk kegemaran Wa Omar). Tambah sampai dua tiga pinggan. Buat Kak Cik...terima kasih daun keladi!!!.

Kemudian, pemanduan kami terus menghala ke utara kedah. Rumah Mak Ngah Yah jadi haluan. Malangnya saya terlepas jalan masuk menuju ke rumah Mak Ngah. Terpaksa saya ubah destinasi mencari rumah Kak Nab (Kakak sulong saya) pula. Gembira saya dapat pertemukan anak-anak saya dengan mak saudara mereka yang belum pernah mereka temui sebelum ini. Saya terpaksa pendekkan masa saya bersama keluarga Kak Nab kerana masih ada dua atau tiga rumah lagi yang ingin saya ziarahi sebelum saya bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Dari rumah Kak Nab, saya berpatah balik ke rumah Mak Ngah Yah melalui jalan belakang. Sama seperti Pak Long Mat dan Wa Omar, Mak Ngah Yah juga begitu ceria menyambut kunjungan kami sekeluarga. Mak Ngah Yah begitu menghiburkan dengan telatah jenakanya hingga tak kering gusi saya, isteri dan anak-anak dibuatnya. Hilang semua keletihan yang dirasai. Patutlah Mak Ngah kelihatan awet muda sebab beliau sentiasa riang gembira seolah-olah tak ada masalah langsung walaupun di dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Syabas buat Mak Ngah Yah....

Saya meneruskan perjalanan menuju ke Alor Star mencari Mak Cik Melah. Puas diberi petunjuk jalan oleh Mak Cik dan Pak Cik, akhirnya kami sekeluarga tiba di rumahnya sekitar jam 8.00 malam. Lontong dan kuih raya telah siap menanti kehadiran kami sekeluarga. Sempat solat Magrib dan Isyak (jamak) serta berbual-bual sekejap, sekitar 9.30 malam, kami bertolak balik ke Kulim (rumah Kak Pah Mat Isa) untuk menzirahi beliau dan suami serta bermalam di situ. Keesokkan paginya saya dah kena hantar anak sulong kami ke Bertam, Kepala Batas untuk menyambung pengajiannya di sana. Pukul 12.00 tengahari..saya bertolak balik ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak bongsu saya pula balik ke asramanya di Subang Jaya sebelum pukul 6.00 petang. Alhamdulillah...saya selamat sampai ke Kuala Lumpur pada pukul 4.00 petang. Walaupun penat...saya rasa puas hati sebab tertunai hajat saya sekeluarga untuk menziarahi beberapa keluaraga (terutama orang-orang tua) kita di Utara Semenanjung. Kepada sesiapa yang tak sempat saya kunjungi, saya mohon ampun dan maaf kerana kesuntukan masa. InsyaAllah...panjang usia, ada rezeki, pasti kita akan bersua juga..Bersama-samalah kita berdoa semoga Allah memberi kita peluang intuk bersua-muka...Amin ya Rabbulaalamin...

Sekali lagi saya memohon ampun dan maaf andai terkasar bahasa. Yang baik itu datangnya dari Allah swt..yang buruk dari diri saya sendiri...wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh..
Bertemu kita di lain coretan....

Rabu, 8 September 2010

Cicit Lebai Din - Part I

Assalamualaikum dan salam 1 Tok Wan….

Seperti yang telah saya janjikan tempohari…kini tibalah masanya untuk saya memulakan kembali coretan di dada blog “Cucu-Cicit Lebai Din” ini tetapi kali ini dengan lebih kembang lagi…maksud saya, kalau dahulu kita hanya mengenali anak-anak dan cucu-cucu Tok Wan Lebai Din, tapi kali ini kita akan mengenali dengan lebih dekat lagi cicit-cicit Tok Wan Lebai Din pulak..
Alhamdulillah..dengan sokongan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din terutama cicitnya yang bernama Fisol ( anak Che Nah, cucu kepada Pak Cik Hassan ) maka akan terpaparlah “Cicit Lebai Din – Part I” di laman blog ini. Moga dengan kemunculannya kelak akan dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kita…insyaAllah..
Adapun cicit-cicit Tok Wan Lebai Din yang akan saya paparkan pada kali ini adalah merupakan cucu kepada Arwah Pak Cik Hassan hasil perkongsian hidupnya bersama isterinya yang bernama Putih yang berasal dan masih menetap di Pulau Langkawi. Walaupun Pak Cik Hassan telah kembali ke rahmatullah, isterinya Putih masih ada. Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga Mak Cik Putih sejahtera dan sihat diberi Allah swt.
Seperti yang telah saya coretkan dahulu, Pak Cik Hassan mempunyai empat (4) orang cahaya mata iaitu (Abg Man, Che Nah, Roziah dan Aziz). Abang Man (Hussain) pula telah di anugerahkan empat (4) cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan Kak Aishah iaitu (Haslina, Hasbullah, Hasri dan Hasniza). Masing-masing telahpun berumah-tangga dan kebanyakkannya menetap di Langkawi kecuali Hasniza yang kini menetap di Batu Pahat.

Dengan ini jumlah Cicit Lebai Din setakat ini adalah empat (4) orang..

Manakala Che Nah (Maimunah) pula telah dikurniakan empat (4) orang cahaya mata juga hasil perkongsian hidupnya dengan Abang Nayan. Untuk pengetahuan semua..Fisol (orang yang bertanggungjawab memberi maklumat tentang keluarga Pak Cik Hassan ini kepada saya) adalah merupakan anak kepada Kak Che Nah dan Abang Nayan ni lah. Anak-anak Che Nah dan Abang Nayan ni adalah (Fisol, Nirwani,Fairuz dan Nur Athikah). Semuanya sudah berumah-tangga kecuali Nur Athikah yang masih belajar. Fisol dan Firuz kini menetap di Kuala Lumpur, Nirwani menetap di Jitra manakala Nur Athikah tinggal bersama Kak Che Nah dan Abang Nayan di Alor Star.
Jumlah Cicit Lebai Din setakat ini menjadi lapan (8) orang.

Sekarang mari kita jengah pula keluarga Kak Rodziah dengan Abang Teh (Mansor). Keluarga bahagia ini telahpun di anugerahkan enam (6) orang cahaya mata iaitu (Zuhir, Zuhaini, Zuhaimi, Zuriaty, Zul Hafiz dan Nasuha). Tiga daripadanya sudah berumah-tangga dan selainnya masih solo dan kesemuanya menetap di Pulau Langkawi.
Jumlah Cicit Lebai Din setakat ini adalah empat belas (14) orang.

Kini mari kita singgah jenguk keluarga Abang Che Aziz dengan Kak Rozana pulak. Pasangan ini pula di anugerahkan enam (6) orang cahaya mata iaitu (Mohd Ikhwan, Mohd Ikhmal, Mohd Ehsan, Mohd Ikhbal, Nurlily dan Mohd Ikhlas). Kesemua ahli keluarga ini kini menetap di Pulau Langkawi dan pasangan ini masih belum mempunyai seorangpun menantu.

Kini jumlah keseluruhan Cicit Lebai Din setakat ini adalah dua puluh (20) orang.

Selasa, 7 September 2010

Selamat Hari Raya AidilFitri...



"Keikhlasan Hati Untuk Saling Memaafkan, Memberi makna berharga dalam Kehidupan...


Andai Jemari Tak Mampu Berjabat, Langkah kaki tak mampu untuk Bertemu, Setidaknya kata masih terungkap setulus Hati, Mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, Maaf Zahir & Batin...


Ikhlas dari..


Ismail Sekeluarga