Khamis, 14 Oktober 2010

Akhirnya dikau pergi jua….Takziah buat keluarga Arwah Pak Long Mat (Bakar Arang)

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan

Buat semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din…
Tanggal 12hb Oktober 2010, kita digemparkan dengan berita yang menyedihkan hati, kembalinya salah seorang anak Tok Wan Lebai Din iaitu Pak Long Mat ( Ahmad Bin Lebai Din ) kerahmatullah. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1932 telah menghembuskan nafas terakhinya di Hospital Sg. Petani, Kedah sekitar jam 8.30pagi setelah 10 hari dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat tekanan darah rendah.
Pemergian beliau menyahut seruan Ilahi setelah 6 bulan isteri tercintanya terlebih dahulu meninggalkan kita.. Dikhabarkan bahawa semua anak-anak serta kaum keluarga terdekatnya sempat menziarahi dan berjumpa dengan beliau sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya di usia 78tahun. Marilah kita bertafakur sebentar, mensedekahkan AL-FATIHAH k eats Rohnya…AL-FATIHAH!!!

Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, di kampung halaman beliau di Bakar Arang, Sg. Petani selepas solat Asar pada hari yang sama. Ramai sanak-saudara terutamanya kaum kerabat Tok Wan lebai Din jauh dan dekat telah meluangkan masa datang menziarahi jenazah beliau walaupun ada yang terpaksa ke hospital untuk memberi penghormatan terakhir disamping tak kurang ramainya yang sabar menanti jenazahnya dibawa pulang ke kediaman beliau di Bakar Arang. Walaupun saya sendiri tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah beliau sebelum disemadikan kerana kereta yang saya pandu mengalami kerosakkan tatkala saya melewati Tol Juru, namun saya tetap redha dan pasrah dengan ketentuan Ilahi, namun saya sempat menziarahi keluarga beliau di kediamannya pada malam hari tersebut dengan bantuan anak saudara saya (anak Kak Nab), Hussain Bin Ismail.

Kepada semua kaum keluarga terdekat Arwah Pak Long Mat, saya mengambil kesempatan ini sekali lagi mengucapkan TAKZIAH diatas pemergian orang yang paling kita sayangi ini dan marilah kita sama-sama berdoa semoga Roh Beliau ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan dikasihi oleh Allah swt. Usahlah kita bersedih lagi kerana sejauh mana kasih saying kita terhadap Arwah, Allah lebih sayangkan beliau….namun saya rasa sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk menganjurkan pertemuan semua kaum kerabat “CUCU-CICIT LEBAI DIN” kerana beliau sangat-sangat menyokong tindakan kita untuk mengumpulkan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din ini. Masih terngiang-ngiang di telinga saya suatu ketika beliau sendiri menalipon saya memberi kata semangat dan mengucapkan tahniah kepada saya diatas usaha kecil saya yang menghasilkan blog ini untuk tatapan semua kaum kerabat Tok Wan lebai Din. “Mae, Pak Long personally nak ucapkan tahniah kat hang pasai buat Blog Cucu-Cicit Lebai Din ni, dah ramai jugak kaum kerabat yang ikut…moga-moga satu hari nanti kita dapat jumpa dengan semua kaum kerabat kita, InsyaAllah!!!” begitu serba-sedikit perbualan talipon saya dengan beliau diawal penubuhan Blog ini dulu. Beliau turut menyuarakan hasrat untuk hadir di majlis tersebut jika di izinkan Allah, namun harapan beliau tidak kesampaian. Namun beliau berbangga dengan sambutan yang telah kita berikan terhadap usaha yang sedang kita jalankan ini bagi menemukan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din ini. Moga semangat kita tidak akan pudar dan terus bersemarak walaupun tanpa Pak Long Mat di sisi.

Kepada semua kaum kerabat yang sempat meluangkan masa menziarahi Arwah semasa beliau terlantar di hospital, maupun yang hadir memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah beliau tempohari, saya mewakili anak-anak dan cucu-cicit serta keluarga terdekat beliau mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Wa Omar, Mak ngah Yah dan ramai lagi yang susah payah hadirkan diri. Walaupun dengan kesihatan yang kurang mengizinkan, namun atas perasaan kasih sayang dan semangat kekeluargaan..digagahi jua. Moga Allah akan membalas dengan memberi kesihatan yang baik dan sempurna kepada semua yang hadir, InsyaAllah….

Kepada kaum kerabat yang tak berkesempatan hadir, marilah kita panjatkan doa kepada Allah swt semoga melimpahkan rahmatNya ke atas Roh Pak Long Mat, dibebaskan dari siksaan kubur, dilepaskan dari azab api neraka, diampunkan segala dosanya tatkala dihisab serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman di Padang Mashar.



Sekian, yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Esa, yang buruk itu kelemahan saya sendiri…wabillahitaufik, walhidayah….wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh…

BERSUA LAGI DI CORETAN AKAN DATANG !!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan