Ahad, 10 Oktober 2021

Kehidupan Norma Baharu

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan.

Bersua kembali di dada blog tercinta ini, setelah sekian lamanya menyepi diri... semoga kalian sentiasa dilindungi Allah Swt. Apa khabar semua? Didoakan semoga kalian semua sihat sejahtera dan tidak tergolong dalam golongan yang terkesan oleh pendamik covid19, "Nauzubillahhiminzaalik"

Esok, 11hb.Oktober, 2021 kebenaran rentas negeri, suatu kenyataan media oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang dinanti-nantikan oleh ramai rakyat Malaysia, bermakna mulai esok sesiapa yang lengkap vaksinasi 2 dos dah boleh ke sana kemari tanpa perlu kebenaran pihak polis.

Akan tetapi, dalam keghairahan kita merentas negeri, sayugia diingatkan janganlah kita terlalu leka dan alpa. Kebebasan hari ini tidaklah seperti dahulu lagi sebelum pendamik covid19 melanda. Kebebasan hari ini kebebasan bersyarat. Kita harus peka dengan keadaan sekeliling, kita masih perlu menjaga SOP dan yang paling penting "kita harus jaga kita untuk jaga semua." INILAH KEHIDUPAN NORMA BAHARU.

Sekian dahulu coretan kali ini. Semoga bertemu lagi di lain coretan, salam rindu dari saya..CUCULEBAIDIN buat semua kaum kerabat. Wassallam



Khamis, 5 Jun 2014

Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan.

Alhamdulillah setelah sekian lama tidak melabuhkan pena di dada blog tercinta ini, kini seolah-olah mendapat kekuatan baharu..maka dengan berbesar hati dan teruja mata pena kini menari-nari kembali. Apa khabar semua? Diharap semua kaum kerabat berada dibawah lindungan Allah swt hendaknya.

Masihkah kalian ingat suatu masa dahulu saya pernah menyatakan hasrat saya yang teramat sangat ingin melihat keluarga besar ini, kaum kerabat Tok Wan Lebai Din berkumpul dan alhamdulillah hari ini pada tanggal 31hb. Mei, 2014 Seri Ternas Lake Resort, Tasik Beris, Sik Kedah menjadi saksi pertemuan ini. "Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1" telah direncanakan dan terlaksana dengan jayanya.

Terima kasih saya tidak terhingga kepada Abang Mansor yang telah bertungkus lumus merealisasikan perjumpaan ini dengan dibantu oleh berbagai pihak terutama AJK Induk yang telah dilantik serta disokong oleh AJK Penyelaras yang mana telah dianggotai oleh kaum kerabat keturunan Tok Wan Lebai Din yang datangnya dari berbagai lapisan. Sesungguhnya kejayaan majlis perjumpaan ini membuktikan betapa penyatuan dan keutuhan semangat kekeluargaan Tok Wan Lebai Din masih kental dan segar.

Kaum Kerabat Cucu-cicit Lebai Din bergambar kenangan di pinggir Tasik Beris, Sik Kedah
Bergambar beramai-ramai di Malam Perasmian "Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1"

Tetamu Kehormat (2 orang anak Tok Wan Lebai Din: Tn. Abd Halim & Hjh Romlah Lebai Din)
diiringi ke Dewan Utama Seri Ternas Lake Resort untuk upacara perasmian majlis 
Ucapan Perasmian oleh Yg. Berbahagia Tn Abd Halim Bin Lebai Din


Tn. Hj Mansor Saari
(Setiausaha Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1)

Tn. Hj Ahmad Naim Zakaria
(Penerusi Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1)
En.Abd. Latif Othman
(Penasihat Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1)
  
Pn. Hjh Murezon Hj Ahmad
(Bendahari Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1)
En. Ismail Dahlin
(Pengacara Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1)
Acara Senamrobik 
En. Yaacob Hj Ahmad sedang megetuai senamrobik
Kek Sumbangan dari En. Saiful & Isteri
En. Saiful dengan Kek-kek sumbangan beliau & Isteri
Tn. Hj Fisol Hj Nayan
(Urusetia Sukaneka)
En. Ismail sedang mengacarakan sukaneka
Asyik mendengar ucapan perasmian

Peserta sedang kusyuk mendengar Kuliah Subuh
Pendaftaran sukaneka


Beraneka Jenis Juadah



Tenang...damai!!!

Sesi Perbincangan Urusetia

Dewan Makan

Dari Dapur Urusetia

Bergambar bersama Tn. Hj Hussain (Biro Agama)


Acara "Basahan Kasih D'Beris"

Acara "Sehati Sejiwa" sedang berlangsung

Urusetia Sukaneka sedang sibuk menguruskan pendaftaran
Acara paling kelakar.."Ahya Cik Siti"
Ucapan Penutup oleh Yg Berbahagia Hjh Romlah Lebai Din.

Masa begitu pantas berlalu...bagaikan tak terasa. Kini saat perpisahanpun tiba. Dengan rasa sayu, pilu serta terharu...Hjh Romlah Lebai Din (Mak Cik Melah) menyampaikan ucapan penutup "Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1" pada tanggal 01hb. Jun, 2014 jam 14:00 dengan harapan agar majlis ini akan ada kesinambungannya, akan diteruskan oleh generasi seterusnya dan seterusnya...dan seterusnya.

Saya sebagai pengacara majlis mewakili semua AJK Induk serta Urusetia "Majlis Perjumpaan Cucu-cicit Lebai Din Peringkat Kebangsaan Kali - 1" ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini terutama kepada pihak pengurusan "Seri Ternas Lake Resort" yang telah banyak membantu, kepada tetamu kehormat (anak Tok Wan Lebai Din) yang telah sudi merasmi dan menutup majlis ini, kepada kumpulan tukang masak yang terdiri dari cucu-cucu Tok Wan Lebai Din sendiri, kepada Ustaz jemputan untuk slot "Kuliah Subuh", urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini dan ramai lagi yang tak dapat saya sebutkan disini. Tak lupa pada semua yang turut memberi sumbangan wang ringgit, tenaga, idea serta kepakaran dalam merealisasikan penyatuan ini. Budi dan jasa kalian hanya Allah swt sahaja yang akan membalasnya.

Sayang selasih ditumpah minyak
Bunga padi dengan jerami
Kepada semua terima kasih banyak
Kerana sudi bersama kami

Bunga padi dengan jerami
Capai sadat dalam perigi
Jasa dan budi, kasih bersemi
Sampai dapat berjumpa lagi

Kalau tiada jarum yang patah
Harap disimpan di dalam peti
Kalau benar madah dan tingkah 
Harap sematkan di dalam hati

Juga saya ingin mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan. Yang baik dan benar itu datangnya dari Allah swt, silap dan salah adalah kelemahan saya sendiri..

Akhiril kalam....wabillahi taufiq wal hidayah...assalamualaikum wbt.






Selasa, 8 Oktober 2013

Dari DIA kita datang, kepada DIA kita kembali

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

     Semalam, tanggal 07hb. Oktober, 2013 kita digemparkan dengan berita sedih...kepulangan Paksu Ghazali Bin Lebai Din, anak bongsu allahyarham Tok Wan Lebai Din kerahmatullah setelah beberapa bulan diuji Allah dengan penderitaan sakit gaut dan stroke di kediaman beliau di Kelantan. Diberitakan jenazahnya telah dikebumikan pada pukul 11.00 pagi hari ini (08hb. Oktober, 2013)

     Apa yang mampu kita ungkapkan, lebih-lebih lagi insan yang pernah bersama arwah dalam suka dan duka mengharungi kehidupan...selain dari "Innalilla hiwainna ilahi roojiiun". Sesungguhnya, ketetapan telah tersurat, ketentuan Allah itu PASTI... beliau telah dipanggil Allah terlebih dahulu. Moga segala kepedihan dan kesengsaraan beliau waima semasa beliau sakit sehinggalah menghembuskan nafas terakhir akan dan telah dapat menebus segala dosa beliau samada kecil maupun dosa besar. Semoga beliau mendapat pengampunan oleh Allah swt...sama-samalah kita berdoa...aminnnn

     Buat ahli keluarga terdekat beliau, isteri dan anak beliau, saya mendoakan semoga mereka redha dan tabah menghadapi ujian Allah swt ini. Sungguh kita sangat sayangkan arwah...namun Allah lebih sayangkan dia. Ingatlah yang kita juga akan menyusul kemudian...cuma tarikhnya saja yang kita belum tahu lagi...mungkin esok, lusa atau entah bila...

     Buat semua kaum kerabat, marilah kita sama-sama berdoa dan sedekahkan Al-Fatihah dan Yassin buat arwah Paksu Ghazali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh....aminnnn.

     Sesiapa yang berdekatan dan berkesempatan dapatlah kiranya menziarahi keluarga beliau dan sampaikan salam takziah saya dan keluarga kepada ahli keluarga beliau.

     Sekian...wasallam.

Selasa, 3 September 2013

Seloka Kasih Ibu

Dalam kamar sepi...
dibalik tirai lesu..
duduk menanti seorang ibu...

Pipi kedut dahi berkerut...
mengintai laman sehingga larut..
sesekali menoleh kebelakang...
ayah terbaring menggenggam harapan.

Duhai anak....kenapa benak???
keluhan hati menagih kasih...
duduk menanti tanpa jemu...
memujuk hati yang sedang merindu.

Mana anak manalah cucu...
fikiran terkenang keriangan dahulu...
otak serabut semakin kalut...
anak dan cucu tidak menyahut.

Duhai angin malam bawalah pesan..
bukannya pungguk rindukan bulan...
resah jiwanya tidak keruan...
mengenang nasib untungnya badan.

Hati ibu ingin bicara...
kerna masa makin ketara...
kenapa kalian tidak mengerti...
ayah juga butuhkan bakti.

Sibuk susun kehidupan sendiri...
mengajar anak bertateh berlari...
terlupa jasa kasih dan bakti...
tinggalkan ibu seorang diri...
meratap hiba menadah doa...
pulanglah anak ke pangkuan bonda.

Suara halus berbalam-balam...
semakin lama semakin tenggelam..
mengharap anak menjadi teman..
tatkala gusar mengundang malam.

Hati ibu semakin resah...
menanti anak tak kunjung tiba...
ayah hanya mampu berserah...
cuba memujuk hati yang lara.

Khamis, 29 Ogos 2013

Pengabdian Cinta...

Assalamualaikum...dan Salam Sejahtera..
Dah lama tak post kat ruangan ni...
Entah kenapa tetiba idea datang mencurah..
Tak pernah buat puisi maupun seloka...
Cuma nak cuba-cuba, suka-suka...

Kalau tak sedap jangan mencela...
Sekadar main-main saja.


"Pengabdian Cinta..." 

Ku jejaki langkah kaki…
menyusuri lembah kehidupan
antara hiruk-pikuk metropolitan..

Di daerah kegersangan ini…
kosong…sepi…

Ku terokai hutan kesengsaraan ini
berbekal kapak keimanan, 
menerjah api kemarahan
menganyam buih-buih kedukaan
Ku takluki belukar kebebasan
meniti lereng-lereng gunung
menghambar bayu kemodenan
bergolek di lembah kedaifan.

Di segenap pelusuk rona keduniaan
dalam menungkah arus kekeciwaan,
di atas batas semaian usia

Dalam kehausan nikmat
dahagakan kasihNya
keamanan sejagat dirobek 
nafsu durja…
tanpa rasa gentar…
halilintar rentap menyambar.

Menerpa menyusun bungkah
membunuh prasangka
yang berabad lama berlabuh
di teluk kesangsian…

Lupa…
pada Sang Pencipta..
menerobos ke lubuk hina..
alpa mendabik dada
sesat mencari jalan pulang…

Ayuh…
bangkitlah 
jangan lagi kita leka..
tunduk sujudlah
pada Yang Maha Esa…
kerna di sanalah singgahsana
pengabdian kita..

Ahad, 19 Mei 2013

Ikan Patin Masak Tempoyak Sempena Hari Ibu...

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan....
     Bersua lagi di laman tercinta ini, semoga semua kaum kerabat dan suku sakat Tok Wan Lebai Din berada di dalam lindungan Allah swt selalu.
     Dah agak lama saya tidak berbicara di sini...laman tercinta ini..dek kesibukan dan bebanan tugas harian yang kian menimbun...maka laman ini seolah-olah telah diabaikan..namun,,,kesempatan ditinggalkan keseorangan pagi semalam memberi peluang untuk saya menulis di ruangan ini hari ini.
     Semalam, isteri dan anak dara saya menghadiri kuliah dhuha di Masjid berdekatan. Kuliah yang diadakan khas untuk kaum Hawa sahaja sebagai aktiviti sambutan hari ibu menyebabkan saya ditinggalkan keseorangan di rumah. Oleh kerana majlis bermula seawal pukul 9.00 pagi, saya mengambil keputusan untuk ke pasar mencari bahan2 yang boleh di masak sebagai menu makan tengahari hari ini. Cadang tu nak buat kejutan sikit buat isteri sempena Hari Ibu ni..
     Sambil pusing2 cari bahan kat pasar, kepala juga tak berhenti berpusing mencari idea apakah masakan yang sesuai untuk tengahari ni...terpandang longgokan ikan patin yang agak sederhana besarnya di salah satu kedai...lantas idea Ikan Patin Masak Tempoyak pun timbul dalam kepala. "Jam dah hampir pukul 10.00 pagi..sempat ke masak sebelum dia orang balik dari kuliah ni?". Hati terdetik bertanya. "Ahhh!!! jangan fikir panjang lagi...cepat gerak sekarang"...jawab hati.
     Lantas segera pilih salah se ekor ikan patin tersebut serta cari bahan2 yang lain dan segera dibawa balik ke rumah untuk dimasak. Sampai di rumah, operasi memasak yang selalu saya bahasakan "sepah-sepahkan dapur isteri" pun bermula...saya mulakan denagan :-
1)   Basuh ikan patin terlebih dahulu. Saya gunakan air basuhan beras untuk hilangkan hanyir ikan patin tersebut. Arwah ibu saya selalu menggunakan kaedah ini jika memasak ikan air tawar.
2)   Tumbuk cili padi, bawang merah, bawang putih serta kunyit hidup dengan lesung batu. Kata orang tua2, rasa masakan yang tumbuk dengan lesung batu lebih sedap berbanding  yang diblender.
3)   Setelah lumat bahan2 itu ditumbuk, campurkan sedikit tempoyak dan air, kacau sampai sebati.
4)   Campurkan semua bahan tadi dengan ikan patin, biarkan terendam dalam periuk selama 15 minit.
5)   Ketuk serai, masukkan kedalam periuk dan buka api perlahan. Masukkan garam secukup rasa.
6)   Biarkan isi ikan masak dan sebelum padamkan api, tambah sedikit daun kunyirt.
7)   Setelah masak bolehlah angkat untuk dihidangkan..

kepala ikan patin masak tempoyak sedia untuk dijamah.

     Sebenarnya bukanlah payah sangat untuk menyediakan masakan seperti ini..bertambah mudah bila ada minat dan keikhlasan. Belum sempat isteri dan anak dara balik, Ikan Patin Masak Tempoyak siap sedia sebagai kejutan atau lebih tepat lagi sebagai hadiah hari ibu. Terima kasih isteriku kerna menjadi ibu yang baik kepada anak-anak ku...
Tak lupa al-fatihah buat arwah ibuku yang tercinta Seti Iasah Bte Lebai Din yang telah melahir dan membesar serta mendidik daku sehingga begini. Jasa dan pengorbananmu tak akan aku lupa sehingga ke hujung nyawa dan semoga Allah swt menempatkan dirimu bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Buat ibu mertuaku, serta semua ibu-ibu yang membaca coretan ini..."Selamat Hari Ibu"
     Sekian dahulu coretan saya buat kali ini...bertemu lagi di lain coretan...ampun dan maaf andainya coretan ini ada menyinggung perasaan sesiapa, yang baik itu adalah dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan diri saya sendiri..Wasallam...

Isnin, 17 Disember 2012

ROTI BENGGALI cicah GULAI TELOR IKAN


Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan....

     Bersua lagi di laman blog tercinta ini semoga kaum kerabat Tok Wan Lebai Din berada di dalam lingkungan sihat serta bahagia selalu. Kali ini saya akan sajikan kaum kerabat dengan apa yang saya temui di Majlis Timbal Balik Perkahwinan cucu Tok Wan Lebai Din di Alor Setar.

     Petang khamis, dua hari sebelum majlis ini berlangsung, saya mendapat panggilan talipon dari Abang Mansur, suami Kak Murezon (sepupu saya). "Mae mai dak kenduri Mak Chik?"."InsyaAllah...ada rezeki, panjang umur, sampailah saya nanti" balas saya pendek. "Kalau jadi mai Aloq Stax, mai tidoq rumah saya na.., tok sah dok baziax sewa bilik hotel...rumah saya bukannya ada sapa pun"...offer abang Mansur pada saya, membuat saya tak mampu menolak...mungkin banyak perkara yang nak disampaikan kepada saya...saya mengagak..
    Saya sampai rumah Abang Mansur pada malam hari Jumaat setelah singgah sebentar menjengok Wa Omar di Teroi. Macam biasa Wa Omar tetap tenang walaupun sekarang hanya mampu meniarap. "Hang bawak adik-adik hang ka? Wa teringin sangat nak tengok adik-adik hang." Pertanyaan Wa Omar sekali lagi buat saya rasa terharu.

Bersama Abg Man langkawi (tiga dari kiri) dan Abg li menyorok pulut ikan masin.

     Pagi Sabtu saya terus menuju kerumah Mak Chik Melah selepas sarapan "ROTI BENGGALI" cicah "GULAI TELOR IKAN" resepi Abang Mansur. Terima Kasih Abang Mansur dan Kak Murezon yang telah menaja penginapan dan sarapan pagi untuk kami sekeluarga. Setiba saya di rumah pengantin, orang pertama yang saya temui adalah Abang Man Langkawi. MasyaAllah...macam tak percaya, orang yang dah begitu lama tidak saya temui...dah lebih 40tahun ..sebak rasa di dalam dada!!!

Khemah jamuan 
     Kemudian, seorang demi seorang kaum kerabat cucu-cicit Lebai Din yang saya temui. Ada yang pernah saya temui di majlis-majlis sebelum ini dan tak kurang juga yang baru kali pertama saya temui. Asyik bertanya khabar dan bercerita hingga tak sedar masa berlalu., namun sempat juga bergambar kenangan beramai-ramai walaupun ada separuh yang terpaksa pulang dahulu kerana ada hal lain pulak.

Sebahagian cuc-cicit lebai din yang hadir bergambar kenangan beramai-ramai

     Namun, ada suatu perkara yang harus diketahui oleh kaum kerabat...dalam kerancakan saya beramah mesra dengan kaum kerabat yang masih berada di situ, saya didatangi Abang Mansur. "Mae!, hang kena jumpa dengan sorang ni..dia ni sedara (saudara) kita yang agak dekat jugak". Tegur Abang Mansur. "Sapa?" tanya saya pendek. "Mai sini.." Abang Mansur membawa saya ke sebuah meja. "Kenalkan...ini Dato' Mohammad Bin Darus, anak kepada sepupu Wa Omar." saya pantas terfikir..kalau sepupu Wa Omar, bermakna ayahnya denagan Tok Wan Lebai Din adalah adik-beradik... 
     Dato' Mohammad Bin Darus adalah bekas pengerusi BankPersatuan Malaysia dan sekarang masih menjadi ahli lembaga pengarah. Beliau sangat menyokong niat kita untuk menyatukan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din. Untuk pengetahuan semua, beliau kini berusia 72tahun (kalau tak silap) dan masih sihat serta kuat. Semoga Allah swt terus memberi kesihatan yang baik untuk Yg. Berbahagia Dato'.

Bersama Dato' Mohammad Bin Darus (baju batik kopiah putih), cucu saudara Tok Wan Lebai Din.
Tengah tunggu sesi fotografi

     Sekian dahulu celoteh saya untuk kali ini. Bersua lagi di lain coretan...yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan saya sendiri. Saya menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf andainya coretan saya ini menyentuh hati dan perasaan sesiapa sahaja samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia..Wabillahhi taufik, walhidayah...wassalamualikumwarahmatullahiwabarokatuh..