Rabu, 8 Jun 2011

Mak Ngah Yah yang Saya Kenali...

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

Bertemu kembali di laman blog tercinta ini, semoga kaum kerabat semua diberi kesejahteraan oleh Allah swt disamping keluarga tercinta..

Alhamdulillah...pada kunjungan saya dan keluarga ke Utara Tanahair tempohari bagi memenuhi undangan kerabat Tok Wan (Pn. Hjh Murezon dan Tn Hj Mansur) yang telah mengadakan Majlis Perkahwinan anak mereka, Siti Hajar Bt. Mansur (cicit Lebai Din), sempat saya dan keluarga menjengah Mak Ngah Yah yang kini sedang uzur di rumah beliau di Sg. Daun.

Seperti yang diduga, Mak Ngah Yah begitu tenang sekali menerima kunjungan kami sekeluarga, walau jauh di sudut hati beliau menampakkan sedikit kesayuan dan terharu bercampur sedih. Terasa oleh saya dan keluarga akan sedikit kelainan pada pertemuan kali ini memandangkan Mak Ngah Yah adalah seorang yang cukup periang dan peramah. Walaupun baru beberapa kali bertemu, namun kemesraannya dengan keluarga saya terutama isteri saya amat mesra sekali. Setiap kali perjumpaan, ada saja celotehnya yang akan membuat kami sekeluarga tidak kering gusi...namun, pada pertemuan kali ini keriangan tidak seperti dahulu lagi. Mak Ngah Yah tidak boleh berbicara dan berceloteh seperti dahulu. Setiap tutur-katanya sukar bagi kita untuk memahaminya. Puas juga saya cuba untuk memahami setiap tutur bicaranya namun...akhirnya saya jadi keciwa, sayu bercampur sedih dan kasihan.
Cuba kalian bayangkan..bila seorang yang selalunya petah berkata-kata
dan kini cuba berbicara dan akhirnya apa yang nak diucapkan tidak kesampaian? Apakah perasaan kalian tatkala itu? Tentunya keciwa, bukan?
Namun...apa yang dialami dan dirasai oleh Mak Ngah Yah berlainan sekali. Beliau tetap sabar dan sentiasa tersenyum dan sesekali turut tertawa. Langsung tidak menampakkan kekeciwaan di hati kecil beliau. Bila diajukan persoalan begini kepadanya, jawapannya sungguh positif. "Allah dah lama bagi Mak Ngah sihat..., sekarang dia bagi sakit pulak!!!, Dia nak ambil sikit demi sedikit apa yang Dia telah bagi pada Mak Ngah dulu...Mak Ngah redha!!!. Lihatlah betapa cekalnya hati seorang wanita bernama Mak Ngah Yah. "ITULAH MAK NGAH YAH YANG SAYA KENALI" Kecekalan hati dan kesabarannya membuatkan saya terasa diri ini terlalu kecil jika dibandingkan dengannya. Kita terutamanya saya akan cepat terasa keciwa jika ditimpa musibah. Susah sedikit saja sudah mengeluh...selalu terlupa bahawa ada hikmah disebalik setiap kejadian dan semua ini adalah dugaan Allah kepada hambaNya bagi menguji tahap kesabaran dan keimanan kita. Terlupa semua yang kita milikki adalah milik Allah, dan Dia berhak untuk mengambilnya semula dari kita. Kecekalan dan kesabaran Mak Ngah Yah sepatutnya dijadikan ikutan oleh semua kalangan terutamanya kita kaum kerabat Tok Wan Lebai Din.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa semoga Mak Ngah Yah akan cepat sembuh atau sekurang-kurangnya akan kekal bersemangat dan bersabar...tidak akan mudah dipengaruhi hasutan syaitan laknatullah.
Kepada ahli keluarga terdekat Mak Ngah Yah.., jangan kenal erti putus asa...berbanyak-banyaklah bersabar dan berdoa kepada yang Maha Esa...Jagalah Mak Ngah Yah sebaik mungkin...ingatlah pengorbanan beliau membesar dan menyara hidup kita sehingga kita berjaya. Sumbangan beliau tidak mungkin dapat dibalas walau dengan apa-apa sekalipun.
Kepada Kak Nab yang sentiasa berada disamping Mak Ngah Yah..., jagalah Mak Ngah Yah dengan seikhlas hatimu. Jangan disakiti hati dan perasaan beliau. Berbanyaklah bersabar...buktikan kepada diri kita bahawa anak juga mampu untuk menjaga ibu dengan baik. Tolak tanggapan masyarakat yang selalu berkata "Seorang ibu boleh menjaga sepuloh orang anak tetapi sepuloh orang anak tidak akan mampu menjaga seorang ibu." Lakukan dengan ikhlas..insyaallah, Tuhan akan sentiasa membantu kita...berdoalah kerana Allah akan memperkenankan doa anak yang soleh @ Solehah.

Sekian dahulu coretan saya buat kali ini. Yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan saya sendiri...ampun dan maaf andai terdapat salah dan silap dalam setiap coretan saya, samada saya sedar atau tidak....wasallam..



Tiada ulasan:

Catat Ulasan