Isnin, 17 Disember 2012

ROTI BENGGALI cicah GULAI TELOR IKAN


Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan....

     Bersua lagi di laman blog tercinta ini semoga kaum kerabat Tok Wan Lebai Din berada di dalam lingkungan sihat serta bahagia selalu. Kali ini saya akan sajikan kaum kerabat dengan apa yang saya temui di Majlis Timbal Balik Perkahwinan cucu Tok Wan Lebai Din di Alor Setar.

     Petang khamis, dua hari sebelum majlis ini berlangsung, saya mendapat panggilan talipon dari Abang Mansur, suami Kak Murezon (sepupu saya). "Mae mai dak kenduri Mak Chik?"."InsyaAllah...ada rezeki, panjang umur, sampailah saya nanti" balas saya pendek. "Kalau jadi mai Aloq Stax, mai tidoq rumah saya na.., tok sah dok baziax sewa bilik hotel...rumah saya bukannya ada sapa pun"...offer abang Mansur pada saya, membuat saya tak mampu menolak...mungkin banyak perkara yang nak disampaikan kepada saya...saya mengagak..
    Saya sampai rumah Abang Mansur pada malam hari Jumaat setelah singgah sebentar menjengok Wa Omar di Teroi. Macam biasa Wa Omar tetap tenang walaupun sekarang hanya mampu meniarap. "Hang bawak adik-adik hang ka? Wa teringin sangat nak tengok adik-adik hang." Pertanyaan Wa Omar sekali lagi buat saya rasa terharu.

Bersama Abg Man langkawi (tiga dari kiri) dan Abg li menyorok pulut ikan masin.

     Pagi Sabtu saya terus menuju kerumah Mak Chik Melah selepas sarapan "ROTI BENGGALI" cicah "GULAI TELOR IKAN" resepi Abang Mansur. Terima Kasih Abang Mansur dan Kak Murezon yang telah menaja penginapan dan sarapan pagi untuk kami sekeluarga. Setiba saya di rumah pengantin, orang pertama yang saya temui adalah Abang Man Langkawi. MasyaAllah...macam tak percaya, orang yang dah begitu lama tidak saya temui...dah lebih 40tahun ..sebak rasa di dalam dada!!!

Khemah jamuan 
     Kemudian, seorang demi seorang kaum kerabat cucu-cicit Lebai Din yang saya temui. Ada yang pernah saya temui di majlis-majlis sebelum ini dan tak kurang juga yang baru kali pertama saya temui. Asyik bertanya khabar dan bercerita hingga tak sedar masa berlalu., namun sempat juga bergambar kenangan beramai-ramai walaupun ada separuh yang terpaksa pulang dahulu kerana ada hal lain pulak.

Sebahagian cuc-cicit lebai din yang hadir bergambar kenangan beramai-ramai

     Namun, ada suatu perkara yang harus diketahui oleh kaum kerabat...dalam kerancakan saya beramah mesra dengan kaum kerabat yang masih berada di situ, saya didatangi Abang Mansur. "Mae!, hang kena jumpa dengan sorang ni..dia ni sedara (saudara) kita yang agak dekat jugak". Tegur Abang Mansur. "Sapa?" tanya saya pendek. "Mai sini.." Abang Mansur membawa saya ke sebuah meja. "Kenalkan...ini Dato' Mohammad Bin Darus, anak kepada sepupu Wa Omar." saya pantas terfikir..kalau sepupu Wa Omar, bermakna ayahnya denagan Tok Wan Lebai Din adalah adik-beradik... 
     Dato' Mohammad Bin Darus adalah bekas pengerusi BankPersatuan Malaysia dan sekarang masih menjadi ahli lembaga pengarah. Beliau sangat menyokong niat kita untuk menyatukan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din. Untuk pengetahuan semua, beliau kini berusia 72tahun (kalau tak silap) dan masih sihat serta kuat. Semoga Allah swt terus memberi kesihatan yang baik untuk Yg. Berbahagia Dato'.

Bersama Dato' Mohammad Bin Darus (baju batik kopiah putih), cucu saudara Tok Wan Lebai Din.
Tengah tunggu sesi fotografi

     Sekian dahulu celoteh saya untuk kali ini. Bersua lagi di lain coretan...yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan saya sendiri. Saya menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf andainya coretan saya ini menyentuh hati dan perasaan sesiapa sahaja samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia..Wabillahhi taufik, walhidayah...wassalamualikumwarahmatullahiwabarokatuh..

Ahad, 9 Disember 2012

Keutuhan Kasih Sayang...

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

     Bersua kembali di dada blog tercinta ini, moga kaum kerabat Tok Wan Lebai Din berada dalam lingkungan "Perlindungan" dari Yang Maha Esa. Syukur kehadrat Ilahi kerna dengan kurniaNya dapat kita bersua lagi di sini, daerah tercinta ini, di alam maya ini walaupun dah agak sekian lamanya tidak melabuhkan tinta ini dek kekeringan sumber dan idea...namun pertemuan pada kali ini membangkitkan semula semangat yang kian pudar.

     Tanggal 08 Desember,2012 bagaikan tarikh keramat. Di antara percaya dengan tidak, antara mimpi dan terjaga, bagai disentak dari lamunan, saya terjaga...rupa-rupanya keutuhan dan kasih-sayang serta ikatan kekeluargaan keluarga Cucu-cicit Lebai Din ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Keutuhan dan kekuatan ikatan kekeluargaan ini telahpun benar-benar teruji pada Majlis Perkahwinan cucu Tok Wan Lebai Din @ anak Mak Cik Melah (Saiful Fakhri) dengan pasangannya (Nurhafizan) di rumah pihak perempuan semalam.


Upacara membatalkan air sembahyang.

     Ketika saya dan keluarga tiba di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin @ Masjid Besi, Putrajaya, sekitar pukul 10.30 pagi, ramai kaum keluarga kedua-dua belah pihak telah berkampung di situ. Sejurus kemudian upacara akad nikahpun dijalankan dan alhamdulillah hanya dengan sekali lafaz, Nurhafizan sah menjadi isteri Saiful Fakhri, maka dengan rasminya bertambahlah seorang lagi kaum kerabat Tok Wan Lebai Din. Selesai akad nikah, semua yang hadir disajikan dengan sarapan pagi (menyorok) sambil berlangsungnya sesi fotografi. Apa lagi, sayapun tidak melepaskan peluang untuk mengambil seberapa banyak gambar yang boleh untuk disajikan kepada kaum kerabat sebagai kenangan masa hadapan. Peluang yang terbuka luas ini saya gunakan juga untuk bertanya khabar dengan kaum kerabat yang saya kenali, yang pernah saya temui pada pertemuan-pertemuan yang lalu.


Bergambar dengan keluarga Mak Njang Ani
     Selesai sarapan, kami semua dijemput untuk ke acara seterusnya yang akan berlangsung di Taman Ekuestrian, yang terletak bersebelahan dengan PICC, Putrajaya. Sekali lagi saya terkejut kerna didatangi seseorang yang tak pernah saya temui sebelum ini iaitu Abang Shoib anak Wa Omar yang datang dari Sabah. Terus terang saya katakan memang saya berharap sangat dapat berjumpa dengan abang Shoib kerana selama ini kami hanya bertemu di muka buku. Beliau telah banyak memberi perangsang dan semangat  untuk saya terus menulis di laman blog ini. Seorang lagi yang kuat menyokong dan banyak memberi semangat kepada saya adalah Mak Njang Ani (isteri Pak Njang Bakar) menantu Tok Wan Lebai Din. Kesungguhan dan keikhlasan mereka-mereka ini membuatkan saya terasa begitu sedikit sumbangan saya selama ini dan kini saya bersemangat untuk bangkit semula bagi membentuk "Penyatuan" keluarga Tok Wan Lebai Din yang kita kenali dengan "Cucu-Cicit Lebai Din" ini. Rupa-rupanya saya tidak keseorangan, masih ramai kaum kerabat Tok Wan Lebai Din yang sanggup membantu, cuma mungkin masih belum bertemu dengan cara, bentuk dan bagaimana sumbangan harus diberi. Alhamdulillah,,,sekurang-kurangnya ramai yang membantu untuk meneruskan usaha yang saya anggap murni ini.


Bergambar kenangan bersama sebahagian Cucu-cicit Lebai Din yang hadir 


     Saksikanlah keutuhan ikatan kekeluargaan ini. Sebut sahaja bila dan di mana, kalau tiada aral melintang, pasti akan datang. Lihatlah walaupun di Majlis pihak perempuan, walau ada setengah kaum kerabat yang dah berangkat pulang, namun sempat bergambar beramai-ramai sebagai kenangan dan buat tatapan kaum kerabat Cucu-cicit Lebai Din semua.

     Semangat yang ditunjukkan oleh semua kaum kerabat yang hadir pada pertemuan kali ini sesungguhnya membakar semangat saya untuk terus berusaha membentuk "PENYATUAN" keluarga tercinta ini.."Cucu-cicit Lebai Din". Namun sokongan dan bantuan dari semua kaum kerabat sangat-sangat saya perlukan. Usaha ini tidak boleh berjaya andainya digerakkan oleh saya seorang. Saya pasti ramai dikalangan kaum kerabat Tok Wan Lebai Din yang mempunyai banyak pengalaman dan berkelibar, yang jauh lebih baik dari saya. Ayuh!!! marilah kita bersama-sama berganding bahu agar usaha penyatuan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

     Sekian dahulu celoteh saya buat kali ini. Semoga bertemu lagi di lain coretan..yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan saya sendiri. Sambutlah salam kasih mesra yang berpanjangan dari saya sekeluarga...Wassallam...



Khamis, 29 Mac 2012

إنا لله وإنا إليه راجعون






Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

Berita sedih buat semua kaum kerabat!

Isteri Wa Omar yang semua kita ketahui mengalami sakit tua telah kembali kerahmatullah pada awal pagi tadi sekitar jam 03:00 pagi dan akan di kebumikan pada sekitar 12:00 tengahari ini..

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Takziah buat semua ahli keluarganya. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Kepada yang berkesempatan menziarahi ahli keluarga dan jenazahnya, saya bagi pihak seluruh ahli keluarganya ingin mengucapkan jutaan terima kasih.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mempermudahkan segala urusan.


و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Ahad, 11 Mac 2012

Ku Cari RedhaMu Ya Illahi Robbi....

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan....
Bersua kembali di dada blog tercinta ini. Apa habaq kaum kerabat serta sahabat semua. Harapan dan doa saya semoga sentiasa dilindungi Allah swt selalu mengiringi kalian. Dah agak lama saya tidak berceloteh di sini..rasa rindu yang amat sangat menggamit saya untuk kembali berceloteh... Hmmmm...apa agaknya catatan yang dapat kita kongsikan bersama kali ini ye!
Kesibukan dengan tugas dan bebanan kerja membuat kita merasa letih...lesu dan hampir tidak bermaya. Di saat begini apa yang terbayang di kotak fikiran kita hanyalah mencari kedamaian. Jauh dari kesibukan dan sebarang bentuk tekanan. Nampak macam mudah...namun pada sesetengah orang, ianya amat sukar untuk diperolehi. Tambahan tinggal di hutan batu yang penuh dengan hiruk-pikuk deruan injin kenderaan, gelagat manusai yang berbagai-bagai kerenah, yang masing-masing berlumba-lumba mencipta darjat dan kekayaan, hingga lupa erti kehidupan sebenar, menghirup udara yang entah tinggal berapa peratus ketulinan dan kebersihannya, menyaksikan berbagai-bagai kepincangan dan entah apa-apa lagi....semuanya ini amat memenatkan.


Lantas...ada yang pantas mengambil jalan mudah. Jalan pintas tanpa mengira dosa dan pahala, syurga atau neraka. Bagi kita umat Islam, tentulah jalan yang terbaik adalah kembali kepada apa yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW, iaitu AL-QURAN dan SUNNAH RASULULLAH SAW. Paling tidak kita memuhasabah diri, dengan memerhati keadaan sekeliling kita. Keindahan alam ciptaan ILLAHI yang tiada tolok tandingnya ini. Lalu kita akan merasa rendah diri...tunduk sujud dengan keagunganNya. Betapa kita rasa sungguh bertuah kerna masih diberi kesempatan sampai ke saat ini. Pasrah dan syukur dengan nikmatNya....

Kekadang kita asyik dan leka dengan urusan duniawi semata-mata hingga kita terlupa bahawa masih ada urusan yang lebih penting dari itu. Ketahuilah bahawa;
Tidak Ada Urusan Yang Lebih Penting Bagi Seorang Hamba Melainkan Dari Mencari SIAPA TUHANNYA…


Kusendiri disini
Menghitung tasbih hayat
Kutiti jembatan kehidupan
Kuselami makna kebenaran
Beratnya beban hidup ini

Kudongakkan kepala
Menembusi langit tak berawan
Menghadap cahaya hidayahMu
Kupanjatkan do’a dari hati
Kulukiskan sendu pengabdian
Mengharap belas pengampunan….

Illahi Robbi…..
Disini kumencari redhaMu
Antara bebayang mentari
Dan redup embun membasahi
Mencari harga diri dihadapanMu

Illahi Robbi….
Kuselami makna kehidupan ini
Kutafsiri makna derita silam
Kutiti jalan perjuangan ini
dan,,, aku pasti kembali
Mencari sejernih air di Al-Kautsar….
AmpunanMu Ya Robbi…..




Sekian dahulu buat kali ini, bersua lagi di lain coretan....






Ahad, 1 Januari 2012

Roda-roda Kehidupan

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...
Bertemu lagi di ruangan ini semoga kalian semua beroleh kesejahteraan dan diberkati Allah swt selalu. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat tahun baharu 2012 kepada semua pembaca yang dikasihi, semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang telah lalu.


Roda-Roda Kehidupan (RRK)
Hidup ini bagaikan 1 putaran. Sedar atau tidak, kita sedang mengharungi 1 putaran kehidupan. Dari dalam rahim (perut) ibu kita dilahirkan, kemudian membesar lalu dewasa, seterusnya mengharungi kehidupan berkeluarga (kahwin), melahirkan zuriat (anak ), menimang cucu, seterusnya mengharungi hari-hari lanjut usia sampailah kita dijemput kembali oleh Allah swt dan disemadikan di (perut) bumi, maka lengkaplah 1 putaran kehidupan.
                Namun sesetengah orang tidak dapat merasai 1 pusingan lengkap kehidupan ini, mereka dijemput terlebih dahulu oleh Allah swt. Orang selalu berkata “Allah lebih menyayangi mereka”. Namun yang lebih tepat pada pandangan saya adalah mereka tidak mampu untuk harungi perit jerih dan liku-liku kehidupan ini. Mereka dimatikan supaya mereka tidak akan menanggung sengsara akibat ketidakmampuan mereka itu kerana Allah swt berfirman:
 “...Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah al-Baqarah : 286).
Namun apa-apapun  Allah swt lebih mengetahui dengan apa yang nyata dan tersembunyi dan Allah swt sentiasa memberi yang terbaik untuk makhluknya, oleh itu bersyukurlah dengan nikmatnya.
                Lihatlah di sekeliling kita, pasti kita dapat melihat bayi yang baru lahir, kanak-kanak yang tengah membesar, anak-anak yang sedang meningkat remaja, orang-orang dewasa, emak ayah yang semakin tua serta datuk nenek yang menghitung usia, masing-masing dengan telatah dan kerenah masing-masing. Segala-galanya cantik disusun atur oleh yang Maha Esa. Allah swt. berfirman yang bermaksud:-
‘...Allah, Dialah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah kemudian Dia menjadikan kamu sesudah lemah itu kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dialah menciptakan apa yang dikehendakiNya. Dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Perkasa.” (Surah ar-Rum : 54)  SubhanAllah!!!
                Sianak kecil terbaring sambil menangis  meminta disusukan  dan dibelai manja, kanak-kanak berlari kesana-kemari sambil mulutnya terkumat-kumit menghafal atau bertanyakan itu dan ini. Siremaja pulak tercari-cari identiti sendiri, sidewasa bertungkus-lumus memperkasakan diri, ibu dan ayah memperturunkan ilmu yang dipelajari dan sidatuk dan nenek memperbanyakan  amal ibadah untuk dibawa sebagai bekalan di akhirat nanti...itulah lazimnya putaran kehidupan ini.
                Namun, di tengah-tengah putaran kehidupan  ini, kita tidak akan lari dari diuji dengan berbagai-bagai ujian mengikut tahap kemampuan kita sendiri. Segala ujian pasti didatangkan dengan sejuta hikmah, diiringi dengan ribuan anugerah. Lebih teruk kita diuji, lebih tinggi kesabaran kita maka lebih teballah tahap keimanan kita di sisi Allah swt.
“...Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut : 2-3)
                Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita tengah diuji. Kita sering marah-marah bila anak-anak kecil kita lasak, kita sering bersungut bila anak-anak remaja kita kurang cerdik macam anak-anak orang lain. Kita sering mengeluh bila gagal dalam usaha kita, sering mempertahankan pendirian dan keegoan kita bila dinasihati oleh ibibapa kita dan lebih teruk lagi merasa benci pada orang-orang yang lanjut usia yang kebaayakannya berperangai seperti kebudak-budakan. Kita selaunya melabelkan mereka-mereka ini dengan pelbagai-bagai, contohnya:-
ü  Buasnya anak saya ini...
ü  Anak saya ni lembab sikit...
ü  Saya ni tak pandailah...buat kerja semua tak jadi...
ü  Zaman mak dan ayah dulu lain...manakan sama dengan zaman moden sekarang ni...
ü  Dia dah tua...dah nyanyuk pun...menyusahkan kita saja...
 dan berbagai-bagai lagi.
Ø  Pernahkan kita terfikir yang kita juga akan mengalami putaran hidup yang sama andainya dipanjangkan umur dan diizinkan oleh Allah swt?.
Ø  Pernahkah kita menilai di mana tahap putaran kehidupan kita sekarang?
Ø  Mahukah kita meletakan tahap putaran kehidupan orang-orang yang terdekat dengan kita?
Ø  Sanggupkah kita mempertikaikan kurniaan Allah kepada kita?
Ø  Sanggupkah kita melawan kedua ibubapa kita, menyakiti hati mereka yang telah mengasuh dan membesarkan kita?
Ø  Sanggupkah kita melihat mereka kesepian, tanpa belaian manja dari anak-anak tercinta?
Ø  Sanggupkah kita melihat mereka kesunyian, terus menghitung hari...
Ø  Pernahkah kita melayani kerenah mereka sebagaiman mereka melayani kerenah kita sepanjang hidup kita ini?
Ø  Mampukah kita mencurahkan bakti dan kasih sayang sepertimana mereka mencurahkannya kepada kita selama ini?
Ø  Pernahkan kita berazam untuk membalas segala jasa bakti mereka selagi mereka masih hidup ini? Dan akhir sekali,
Ø  Pernahkah kita bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah yang tidak terhingga ini, memberi  kita ruang dan waktu untuk menabur jasa dan bakri terutama pada kedua ibu dan bapa?
Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa yang masih hidup, ambillah peluang keemasan ini untuk menjaga mereka, menjaga hati mereka,  memberi kasih sayang yang secukupnya, menabur segala budi, bakti dan jasa, menjaga makan dan minum serta kesihatan mereka. Beruntunglah mereka yang masih mempunyai ibubapa dan rugilah pada sesiapa yang tidak diberi kesempatan ini. Tiadalah yang lebih bahagia bagi insan yang bergelar ibu atau ayah selain berbahagia di samping anak yang dikandung dan dibesarkan. Nabi S.A.W pernah bersabda  yang bermaksud:-
“...Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)
“...Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik terhadap ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung sampai akhir menyusukannya) dan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu dan ingatlah Allah jua tempat kembali untuk menerima balasan.” (Surah Luqman : 14)
                Sudah terang lagi bersuluh, tiada pilihan untuk kita berbuat cela terhadap ibubapa. Tiada alas an untuk kita mengasari mereka. Tiada dalil mengahuskan kita untuk membelakangi mereka.
“...Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu dan hendaklah kamu berbuatbaik kepada kedua ibubapamu.” (Surah an-Nisaa :36)
“Dengan nama Engkau wahai Tuhan, aku hidup dan aku mati.”
Sekian...wassallam...