Ahad, 9 Disember 2012

Keutuhan Kasih Sayang...

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

     Bersua kembali di dada blog tercinta ini, moga kaum kerabat Tok Wan Lebai Din berada dalam lingkungan "Perlindungan" dari Yang Maha Esa. Syukur kehadrat Ilahi kerna dengan kurniaNya dapat kita bersua lagi di sini, daerah tercinta ini, di alam maya ini walaupun dah agak sekian lamanya tidak melabuhkan tinta ini dek kekeringan sumber dan idea...namun pertemuan pada kali ini membangkitkan semula semangat yang kian pudar.

     Tanggal 08 Desember,2012 bagaikan tarikh keramat. Di antara percaya dengan tidak, antara mimpi dan terjaga, bagai disentak dari lamunan, saya terjaga...rupa-rupanya keutuhan dan kasih-sayang serta ikatan kekeluargaan keluarga Cucu-cicit Lebai Din ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Keutuhan dan kekuatan ikatan kekeluargaan ini telahpun benar-benar teruji pada Majlis Perkahwinan cucu Tok Wan Lebai Din @ anak Mak Cik Melah (Saiful Fakhri) dengan pasangannya (Nurhafizan) di rumah pihak perempuan semalam.


Upacara membatalkan air sembahyang.

     Ketika saya dan keluarga tiba di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin @ Masjid Besi, Putrajaya, sekitar pukul 10.30 pagi, ramai kaum keluarga kedua-dua belah pihak telah berkampung di situ. Sejurus kemudian upacara akad nikahpun dijalankan dan alhamdulillah hanya dengan sekali lafaz, Nurhafizan sah menjadi isteri Saiful Fakhri, maka dengan rasminya bertambahlah seorang lagi kaum kerabat Tok Wan Lebai Din. Selesai akad nikah, semua yang hadir disajikan dengan sarapan pagi (menyorok) sambil berlangsungnya sesi fotografi. Apa lagi, sayapun tidak melepaskan peluang untuk mengambil seberapa banyak gambar yang boleh untuk disajikan kepada kaum kerabat sebagai kenangan masa hadapan. Peluang yang terbuka luas ini saya gunakan juga untuk bertanya khabar dengan kaum kerabat yang saya kenali, yang pernah saya temui pada pertemuan-pertemuan yang lalu.


Bergambar dengan keluarga Mak Njang Ani
     Selesai sarapan, kami semua dijemput untuk ke acara seterusnya yang akan berlangsung di Taman Ekuestrian, yang terletak bersebelahan dengan PICC, Putrajaya. Sekali lagi saya terkejut kerna didatangi seseorang yang tak pernah saya temui sebelum ini iaitu Abang Shoib anak Wa Omar yang datang dari Sabah. Terus terang saya katakan memang saya berharap sangat dapat berjumpa dengan abang Shoib kerana selama ini kami hanya bertemu di muka buku. Beliau telah banyak memberi perangsang dan semangat  untuk saya terus menulis di laman blog ini. Seorang lagi yang kuat menyokong dan banyak memberi semangat kepada saya adalah Mak Njang Ani (isteri Pak Njang Bakar) menantu Tok Wan Lebai Din. Kesungguhan dan keikhlasan mereka-mereka ini membuatkan saya terasa begitu sedikit sumbangan saya selama ini dan kini saya bersemangat untuk bangkit semula bagi membentuk "Penyatuan" keluarga Tok Wan Lebai Din yang kita kenali dengan "Cucu-Cicit Lebai Din" ini. Rupa-rupanya saya tidak keseorangan, masih ramai kaum kerabat Tok Wan Lebai Din yang sanggup membantu, cuma mungkin masih belum bertemu dengan cara, bentuk dan bagaimana sumbangan harus diberi. Alhamdulillah,,,sekurang-kurangnya ramai yang membantu untuk meneruskan usaha yang saya anggap murni ini.


Bergambar kenangan bersama sebahagian Cucu-cicit Lebai Din yang hadir 


     Saksikanlah keutuhan ikatan kekeluargaan ini. Sebut sahaja bila dan di mana, kalau tiada aral melintang, pasti akan datang. Lihatlah walaupun di Majlis pihak perempuan, walau ada setengah kaum kerabat yang dah berangkat pulang, namun sempat bergambar beramai-ramai sebagai kenangan dan buat tatapan kaum kerabat Cucu-cicit Lebai Din semua.

     Semangat yang ditunjukkan oleh semua kaum kerabat yang hadir pada pertemuan kali ini sesungguhnya membakar semangat saya untuk terus berusaha membentuk "PENYATUAN" keluarga tercinta ini.."Cucu-cicit Lebai Din". Namun sokongan dan bantuan dari semua kaum kerabat sangat-sangat saya perlukan. Usaha ini tidak boleh berjaya andainya digerakkan oleh saya seorang. Saya pasti ramai dikalangan kaum kerabat Tok Wan Lebai Din yang mempunyai banyak pengalaman dan berkelibar, yang jauh lebih baik dari saya. Ayuh!!! marilah kita bersama-sama berganding bahu agar usaha penyatuan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

     Sekian dahulu celoteh saya buat kali ini. Semoga bertemu lagi di lain coretan..yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan saya sendiri. Sambutlah salam kasih mesra yang berpanjangan dari saya sekeluarga...Wassallam...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan