Selasa, 8 Oktober 2013

Dari DIA kita datang, kepada DIA kita kembali

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan...

     Semalam, tanggal 07hb. Oktober, 2013 kita digemparkan dengan berita sedih...kepulangan Paksu Ghazali Bin Lebai Din, anak bongsu allahyarham Tok Wan Lebai Din kerahmatullah setelah beberapa bulan diuji Allah dengan penderitaan sakit gaut dan stroke di kediaman beliau di Kelantan. Diberitakan jenazahnya telah dikebumikan pada pukul 11.00 pagi hari ini (08hb. Oktober, 2013)

     Apa yang mampu kita ungkapkan, lebih-lebih lagi insan yang pernah bersama arwah dalam suka dan duka mengharungi kehidupan...selain dari "Innalilla hiwainna ilahi roojiiun". Sesungguhnya, ketetapan telah tersurat, ketentuan Allah itu PASTI... beliau telah dipanggil Allah terlebih dahulu. Moga segala kepedihan dan kesengsaraan beliau waima semasa beliau sakit sehinggalah menghembuskan nafas terakhir akan dan telah dapat menebus segala dosa beliau samada kecil maupun dosa besar. Semoga beliau mendapat pengampunan oleh Allah swt...sama-samalah kita berdoa...aminnnn

     Buat ahli keluarga terdekat beliau, isteri dan anak beliau, saya mendoakan semoga mereka redha dan tabah menghadapi ujian Allah swt ini. Sungguh kita sangat sayangkan arwah...namun Allah lebih sayangkan dia. Ingatlah yang kita juga akan menyusul kemudian...cuma tarikhnya saja yang kita belum tahu lagi...mungkin esok, lusa atau entah bila...

     Buat semua kaum kerabat, marilah kita sama-sama berdoa dan sedekahkan Al-Fatihah dan Yassin buat arwah Paksu Ghazali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh....aminnnn.

     Sesiapa yang berdekatan dan berkesempatan dapatlah kiranya menziarahi keluarga beliau dan sampaikan salam takziah saya dan keluarga kepada ahli keluarga beliau.

     Sekian...wasallam.

Selasa, 3 September 2013

Seloka Kasih Ibu

Dalam kamar sepi...
dibalik tirai lesu..
duduk menanti seorang ibu...

Pipi kedut dahi berkerut...
mengintai laman sehingga larut..
sesekali menoleh kebelakang...
ayah terbaring menggenggam harapan.

Duhai anak....kenapa benak???
keluhan hati menagih kasih...
duduk menanti tanpa jemu...
memujuk hati yang sedang merindu.

Mana anak manalah cucu...
fikiran terkenang keriangan dahulu...
otak serabut semakin kalut...
anak dan cucu tidak menyahut.

Duhai angin malam bawalah pesan..
bukannya pungguk rindukan bulan...
resah jiwanya tidak keruan...
mengenang nasib untungnya badan.

Hati ibu ingin bicara...
kerna masa makin ketara...
kenapa kalian tidak mengerti...
ayah juga butuhkan bakti.

Sibuk susun kehidupan sendiri...
mengajar anak bertateh berlari...
terlupa jasa kasih dan bakti...
tinggalkan ibu seorang diri...
meratap hiba menadah doa...
pulanglah anak ke pangkuan bonda.

Suara halus berbalam-balam...
semakin lama semakin tenggelam..
mengharap anak menjadi teman..
tatkala gusar mengundang malam.

Hati ibu semakin resah...
menanti anak tak kunjung tiba...
ayah hanya mampu berserah...
cuba memujuk hati yang lara.

Khamis, 29 Ogos 2013

Pengabdian Cinta...

Assalamualaikum...dan Salam Sejahtera..
Dah lama tak post kat ruangan ni...
Entah kenapa tetiba idea datang mencurah..
Tak pernah buat puisi maupun seloka...
Cuma nak cuba-cuba, suka-suka...

Kalau tak sedap jangan mencela...
Sekadar main-main saja.


"Pengabdian Cinta..." 

Ku jejaki langkah kaki…
menyusuri lembah kehidupan
antara hiruk-pikuk metropolitan..

Di daerah kegersangan ini…
kosong…sepi…

Ku terokai hutan kesengsaraan ini
berbekal kapak keimanan, 
menerjah api kemarahan
menganyam buih-buih kedukaan
Ku takluki belukar kebebasan
meniti lereng-lereng gunung
menghambar bayu kemodenan
bergolek di lembah kedaifan.

Di segenap pelusuk rona keduniaan
dalam menungkah arus kekeciwaan,
di atas batas semaian usia

Dalam kehausan nikmat
dahagakan kasihNya
keamanan sejagat dirobek 
nafsu durja…
tanpa rasa gentar…
halilintar rentap menyambar.

Menerpa menyusun bungkah
membunuh prasangka
yang berabad lama berlabuh
di teluk kesangsian…

Lupa…
pada Sang Pencipta..
menerobos ke lubuk hina..
alpa mendabik dada
sesat mencari jalan pulang…

Ayuh…
bangkitlah 
jangan lagi kita leka..
tunduk sujudlah
pada Yang Maha Esa…
kerna di sanalah singgahsana
pengabdian kita..

Ahad, 19 Mei 2013

Ikan Patin Masak Tempoyak Sempena Hari Ibu...

Assalamualaikum dan Salam 1 Tok Wan....
     Bersua lagi di laman tercinta ini, semoga semua kaum kerabat dan suku sakat Tok Wan Lebai Din berada di dalam lindungan Allah swt selalu.
     Dah agak lama saya tidak berbicara di sini...laman tercinta ini..dek kesibukan dan bebanan tugas harian yang kian menimbun...maka laman ini seolah-olah telah diabaikan..namun,,,kesempatan ditinggalkan keseorangan pagi semalam memberi peluang untuk saya menulis di ruangan ini hari ini.
     Semalam, isteri dan anak dara saya menghadiri kuliah dhuha di Masjid berdekatan. Kuliah yang diadakan khas untuk kaum Hawa sahaja sebagai aktiviti sambutan hari ibu menyebabkan saya ditinggalkan keseorangan di rumah. Oleh kerana majlis bermula seawal pukul 9.00 pagi, saya mengambil keputusan untuk ke pasar mencari bahan2 yang boleh di masak sebagai menu makan tengahari hari ini. Cadang tu nak buat kejutan sikit buat isteri sempena Hari Ibu ni..
     Sambil pusing2 cari bahan kat pasar, kepala juga tak berhenti berpusing mencari idea apakah masakan yang sesuai untuk tengahari ni...terpandang longgokan ikan patin yang agak sederhana besarnya di salah satu kedai...lantas idea Ikan Patin Masak Tempoyak pun timbul dalam kepala. "Jam dah hampir pukul 10.00 pagi..sempat ke masak sebelum dia orang balik dari kuliah ni?". Hati terdetik bertanya. "Ahhh!!! jangan fikir panjang lagi...cepat gerak sekarang"...jawab hati.
     Lantas segera pilih salah se ekor ikan patin tersebut serta cari bahan2 yang lain dan segera dibawa balik ke rumah untuk dimasak. Sampai di rumah, operasi memasak yang selalu saya bahasakan "sepah-sepahkan dapur isteri" pun bermula...saya mulakan denagan :-
1)   Basuh ikan patin terlebih dahulu. Saya gunakan air basuhan beras untuk hilangkan hanyir ikan patin tersebut. Arwah ibu saya selalu menggunakan kaedah ini jika memasak ikan air tawar.
2)   Tumbuk cili padi, bawang merah, bawang putih serta kunyit hidup dengan lesung batu. Kata orang tua2, rasa masakan yang tumbuk dengan lesung batu lebih sedap berbanding  yang diblender.
3)   Setelah lumat bahan2 itu ditumbuk, campurkan sedikit tempoyak dan air, kacau sampai sebati.
4)   Campurkan semua bahan tadi dengan ikan patin, biarkan terendam dalam periuk selama 15 minit.
5)   Ketuk serai, masukkan kedalam periuk dan buka api perlahan. Masukkan garam secukup rasa.
6)   Biarkan isi ikan masak dan sebelum padamkan api, tambah sedikit daun kunyirt.
7)   Setelah masak bolehlah angkat untuk dihidangkan..

kepala ikan patin masak tempoyak sedia untuk dijamah.

     Sebenarnya bukanlah payah sangat untuk menyediakan masakan seperti ini..bertambah mudah bila ada minat dan keikhlasan. Belum sempat isteri dan anak dara balik, Ikan Patin Masak Tempoyak siap sedia sebagai kejutan atau lebih tepat lagi sebagai hadiah hari ibu. Terima kasih isteriku kerna menjadi ibu yang baik kepada anak-anak ku...
Tak lupa al-fatihah buat arwah ibuku yang tercinta Seti Iasah Bte Lebai Din yang telah melahir dan membesar serta mendidik daku sehingga begini. Jasa dan pengorbananmu tak akan aku lupa sehingga ke hujung nyawa dan semoga Allah swt menempatkan dirimu bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Buat ibu mertuaku, serta semua ibu-ibu yang membaca coretan ini..."Selamat Hari Ibu"
     Sekian dahulu coretan saya buat kali ini...bertemu lagi di lain coretan...ampun dan maaf andainya coretan ini ada menyinggung perasaan sesiapa, yang baik itu adalah dari Allah swt dan yang buruk itu kelemahan diri saya sendiri..Wasallam...