Selasa, 20 Disember 2011
Sepotong ayat dari surah Al-Baqarah
...Assalamualaikum dan salam 1 Tok Wan,,,Buat renungan bersamaبِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ ﴿١﴾لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولىٰنا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ ﴿٢٨٦﴾(286) Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".Wassalam...
Sabtu, 17 Disember 2011
Antara Wa Omar, Bubur Asyura dan ikatan sillaturrahim...
Bersua lagi setelah agak lama tidak berceloteh di dada blog tercinta ini. Apa khabar kaum kerabat semua? Harapan serta doa saya semoga kalian dilindungi Allah swt selalu.
Emmm...ada apa cerita terbaru??? cecite!!!cecite!!!
Biasalah kannn...cuti2 sekolah ni, kalau tak kenduri kahwin...berkhatan anak...takpun ambil kesempatan pergi bercuti sambil shoping2 ke...ataupun ziarah kaum keluarga.
Alhamdulillah....minggu lepas sempatlah jugak singgah ziarah Wa Omar. Walaupun sekejap sebab masa terlalu terhad, namun apa yang pasti saya amat bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menziarahi sambil berbual-bual mesra dengan bapa saudara saya yang paling tua ini. Dia kelihatan masih bertenaga walaupun kadang-kala agak kepenatan apabila terlalu banyak berbicara. Namun yang paling menarik perhatian saya adalah daya ingatannya yang cukup kuat hingga mampu untuk menyebut nama anak2 dan cucu-cucu2 Tok Wan Lebai Din. Bila ditanya apakah amalannya??? Dengan mudah dia menjawab.."Selalu2lah membaca Al-Quran"...itu je!!!
Semoga Wa Omar diberi kekuatan dan kesihatan tubuh badan oleh Allah swt untuk beliau terus mengumpul seberapa banyak bekalan dan memperkukuhkan keimanannya...Aminnn!!!
Ahad, 4 Disember 2011
Bubur Asyura UTARA
Bahan-bahan:
500gm tepung beras
250gm kacang hijau
250gm kacang merah
4 ketul ubi keledek - dipotong dadu
1 sisir pisang raja
1/2kg nangka
2 biji jagung - diambil isinya
4 ketul gula melaka
4 helai daun pandan
500ml santan
Cara memasak:
1. Masukkan tepung dan santan ke dalam kuali dan kacau sebati.
2. Keluarkan dan masukkan santan dan garam. Gaul sebati
3. Setelah agak sudah lembut, masukkan jagung, nangka, dan pisang satu persatus.
4. Kemudian masukkan gula melaka dan kacau hingga masak di atas api perlahan.
5. Angkat dan sejukkan di dalam loyang.
Sabtu, 26 November 2011
Masehi vs Hijrah
Salam Maal-Hijrah'1433H
Sabtu, 19 November 2011
Hilangnya Sukar Dicari Ganti...
Ahad, 2 Oktober 2011
Perjumpaan Cucu-Cicit Lebai Din Zon Tengah
Selasa, 13 September 2011
Perjumpaan Hari Raya @ Mini Perhimpunan Cucu-Cicit Lebai Din
Bersua kembali di laman blog tercinta ini... Apa habaq kaum kerabat semua??? Harapan saya semoga semuanya dilindungi Allah swt setiap masa...
Saya bercadang untuk mengadakan perjumpaan hari raya aidilfitri merangkap MINI PERHIMPUNAN CUCU-CICIT LEBAI DIN (ZON TENGAH). Tujuan adalah sebagai majlis suai kenal serta membentuk satu jawatan kuasa di peringkat zon (zon tengah) bagi mengendalikan sebarang aktiviti bersama persatuan ini.
Sebagai menghormati Tok Wan Lebai Din yang masih mempunyai anaknya yang kebetulan menetap di Zon tengah ini, saya mencadangkan perjumpaan ini diadakan di rumah anak Tok Wan Lebai Din tersebut iaitu Pak Jang Bakar @ Abd Halim Bin Lebai Din pada hari Jumaat ini bersamaan 16hb. Sept, 2011 dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 ptg. Sesi bergambar beramai-ramai saya cadangkan diadakan pada pukul 11.00am~12.00pm.
Bagi tidak menyusahkan Pak Jang Bakar dan Keluarga, saya juga mencadangkan supaya kita pakat bawa makanan sendiri. Namun saya masih belum meminta persetujuan Pak Jang Bakar lagi. Saya perlukan maklum balas dari semua kaum kerabat sebelum meminta persetujuan Pak Jang Bakar. Harap dapat maklum balas dengan segera.
Sekian terima kasih.
Jumaat, 9 September 2011
KETUPAT BONDA
Bersua lagi di dada blog tercinta ini setelah sekian lama saya tidak berceloteh. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" buat semua kaum kerabat Tok Wan yang sangat-sangat saya kasihi. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf zahir dan batin di atas kesalahan dan kesilapan saya yang mungkin tanpa disedari telah melukakan atau menyakiti hati sesiapa sahaja.
Aidilfitri kali ini agak berbeza dari tahun lepas. Kalau tahun lepas, saya berpeluang menziarahi sanak saudara kita di sebelah utara tanahair, kali ini haluan saya arahkan ke pantai timur (sanak saudara belah Isteri) pula. Biasalah...bila dah berkeluarga, kenalah bagi sama rata...Jadi keluarga sebelah utara masih belum sempat saya ziarahi. Harap saya akan berkesempatan menziarahi keluarga di utara selepas ini, walaupun di akhir syawal kerana hati ini terlalu rindu rasanya terutama terhadap ibu dan bapa saudara tercinta.
Gema takbir aidilfitri...mengingatkan saya pada arwah emak (Mak Ngah Aisah). Teringat saya zaman remaja...pabila malam raya menjelma...arwah akan menanti kepulangan saya untuk sama-sama membalut ketupat pulut. Kami sekeluarga akan membalut ketupat bermula tengah malam sampai ke pagi. Ada 3 jenis ketupat pulut yang menjadi kebiasaan arwah mak buat iaitu : ketupat pulut biasa, ketupat pulut + kacang dan ketupat dakap. Kami akan buat sama-sama sambil bercerita dan bergurau senda. Betapa indahnya saat itu dan kini telah 23 tahun kenangan itu berlalu pergi...rindunya hati ini padamu bondaku!!!
Kini saya cuba turunkan dan berkongsi amalan yang sama pada anak-anak saya. Moga kasih sayang saya pada anak-anak akan sehebat kasih sayang emak pada saya dan adik-beradik saya, walaupun ketupat saya tak sehebat KETUPAT BONDA....
Buat semua kaum kerabat...saya berdoa semoga kaum kerabat semua bergembira menyambut Syawal kali ini di samping keluarga tersayang. Jangan lupa untuk ziarah atau balik menjengok ibu dan ayah di desa kerana mereka tak pernah jemu mengharap kita pulang menziarahi mereka terutama di hari raya ini.
Sekian dalulu yang sempat saya coretkan buat kali ini. Sehingga berjumpa lagi di lain coretan, wasallam...
Sabtu, 18 Jun 2011
Anak Sulong Tok Wan (Wa Omar) yang dikasehi...
Penulis dengan Wa Omar (Anak Sulong Tok Wan yang kini berusia 108tahun)
Pagi tadi lepas solat subuh, saya termenung sejenak. Terasa bagai ada sesuatu yang tak kena ataupun ada benda atau kerja yang belum selesai. Puas difikir2.., dibelek2 diary...semak “outstanding matters”.., semua kerja dah settle.. tak ada pulak yang sangkut..!, apa agaknya..? Pening seketika. Terpandang Note Book di atas meja tulis di sudut bilik..,”mungkin ada sesuatu pada Note Book berkenaan” bentak hati kecil saya. “Yes!!!, ada coretan yang masih belum saya postkan ke dalam blog http://cucucicitlebaidin.blogspot.com.
Lantas Note Book berkenaan saya buka dan mula mengamati setiap gambar yang telah saya pindahkan ke dalamnya. Fikiran mula melayang mengingati kembali tiap detik yang berlaku tatkala kunjungan saya sekeluarga ke Utara Tanahair tempohari.
Penulis bergambar bersama keluarga kak Mariam dan Abg Man
Sedang rancak berbual sambil menjamah kuih karas buatan Kak Nab di rumah Mak Ngah Yah..,( untuk pengetahuan : Kak Nab Mak Ngah Yah merupakan pengusaha kuih karas yang termasyur di kalangan penduduk setempat ). Isteri saya tidak akan ketinggalan untuk membawa pulang tiap kali kunjungan kami ke rumah Mak Ngah Yah. Tiba2 talipon bimbit saya berdering. Dalam kesamaran ( sebab tak pakai cermin mata ), tertera nama Kak Chik Wa Omar pada skrin talipon bimbit saya.
“Assalamualaikum..Kak Chik!” saya mulakan bicara. “Waalaikum salam..,tak turun Logstaq ka?” balas Kak Chik ringkas. “InsyaAllah..ada apa Kak Chik?” Tanya saya lagi. “Ni...Wa hang suruh tanya, hang turun Logstaq tak singgah rumah ka?”. “Awatnya Kak Chik?, Wa tak sihat ka?” Tanya saya lagi dengan penuh debar. Dalam hati saya berdoa..janganlah ada perkara yang tak baik berlaku pada Wa Omar. “Wa hang jatuh dua tiga hari lepas..!, tapi dah bawak pi check doctor dah. Doktor kata Wa hang O.K..”. Baru lega sikit debaran di hati ini. “InsyaAllah.., memang niat kami nak jenguk Kak Chik dan Wa Omar sehari dua lagi” balas saya. “Kalau macam tu baguihlah..,Wa ni selalu sangat dok sebut, bersungut dah lama tak tengok hangpa..” bisik Kak Chik lagi. “InsyaAllah...kirim salam pada Wa!!!” balas saya menutup perbualan.
Memandangkan saya masih ada waktu, sebelum ke Alor Setar lepas solat zohor nanti dengan Kak Nab (kakak sulong saya) serta Kak Robiah (anak Mak Ngah Yah) saya mencadangkan kami terus sahaja menziarahi Wa Omar. Lagipun rumah Wa Omar dengan rumah Mak Ngah Yah tidaklah jauh sangat. Lebih kurang 20minit jarak perjalanan dengan kereta. Sayapun terus menghubungi semula Kak chik menyatakan yang kami akan kerumahnya sekejap lagi. Kak Chikpun setuju kerana diapun bercadang ke Alor Setar selepas zohor bersama dengan Abang Harun, adik Kak Chik.
Dalam perjalanan menuju ke rumah Wa Omar, saya tersasar masuk ke jalan menuju ke Sg. Yan. Sepatutnya saya harus ikut jalan menuju ke Guar Cempedak. Namun ada kebaikannya..saya melalui “Sekolah Menengah Agama Fauzi” yang dahulunya dikenali dengan panggilan “Pondok Ustaz Fauzi”. Ada kenangan saya bersama Tok Tom, isteri Tok Wan yang terakhir. Sama-sama kita tunggu kemunculan coretan saya tentang “Pondok Ustaz Fauzi” dan apa kaitannya dengan Tok Wan Lebai Din.
Setelah singgah sebentar di Sekolah Menengah Agama Fauzi, saya dan keluarga meneruskan perjalan...kerana matlamat kami adalah Wa Omar dan Kak Chik. Kak Chik dah tercegat di persimpangan jalan masuk ke rumah Wa Omar. Takut kami terlajak sebagaimana yang berlaku pada kunjungan kami aidilfitri yang lalu kata Kak Chik. Wa Omar sedang berbaring2 menantikan masuknya wakyu solat Zohor semasa kami tiba. Dia agak terkejut dan bingkas bangun. “Assalamualaikum...Wa apa habaq?” sapa saya sambil menghulur tangan bersalaman dengannya diikuti oleh isteri dan anak2 saya. “Hang tak bawak adik-adik hang? Wa takut tak sempat jumpa depa...” tiba2 soalan cepumas itu terpancul keluar dari mulut Wa Omar. Saya jadi terkaku...kelu...tak tahu apa jawaban yang paling baik bagi menjawab pertanyaan Wa kali ini. Mujur isteri saya cepat mencelah...”Depa semua dah dewasa, Wa!!!...bukannya budak2 lagi..kalau macam anak-anak, bolehlah kami heret kesana-kemari”. Saya harap Wa faham dengan maksud yang ingin disampaikan oleh isteri saya.
Sedang kami rancak bersembang dengan Wa Omar, satu lagi gerombolan kaum kerabat sampai rumah Wa Omar. Kali ini kaum kerabat dari Langkawi sampai dengan tiga buah kereta. Keluarga Kak Mariam..dengan suaminya, abg Man. Kak Mariam ni adalah cucu Tok Wan Lebai Din, saudara kandung Abg Ad yang saya ketemu semasa menziarah Wa Omar aidilfitri yang lalu...kat sini juga. Sempat juga kami bergambar beramai-ramai bersama Wa Omar, Abg Harun, Kak Chik serta kaum keluarga Kak Mariam yang mana ada.
Bergambar kenangan bersama kaum kerabat dari Langkawi.
Sekian dahulu buat kali ini...ketemu lagi dalam coretan akan datang...sambutlah salam kasih mesra dari saya buat semua...wassallam.
Rabu, 8 Jun 2011
Mak Ngah Yah yang Saya Kenali...
Ahad, 5 Jun 2011
Sorotan Peristiwa Majlis Perkahwinan Siti Hajar
Rabu, 1 Jun 2011
Cicit menantu Tok Wan
Sanak-saudara, sahabat-handai serta jiran sepakat telahpun dijemput, maka kepada kaum kerabat terutamanya yang ada kelapangan, marilah bersama-sama bertandang bagi meraikan serta memeriahkan lagi Majlis tersebut disamping dapat bertemu mesra merapatkan silaturrahim sesama kita.
Disamping itu, jika masih punya waktu, apalah salah kiranya kita turut menziarahi keluarga kita yang sedang agak uzur sekarang ini yang tinggal tidak berapa jauh dari bandar Alor Setar ini, iaitu ( Wa Omar dan Mak Ngah Yah ) yang sangat-sanagat kita kasihi ini. Semoga dengan kehadiran kita menjengok mereka, akan dapat menceriakan mereka...InsyaAllah..
Sekian dahulu buat kali ini...bersua lagi di lain coretan...
Yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu kekurangan saya sendiri...saya menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf andai ada terkasar bicara...
Wassalam...
Rabu, 25 Mei 2011
PANJATKAN DOA BUAT MAK JANG ROHANI...
Buat semua kaumn kerabat,
Saya menerima berita yang Mak Jang Rohani ( Isteri Pak Jang Bakar ) telah dimasukkan ke Hospital Serdang kelmarin bagi menjalani pembedahan. Kini menagalami masalah Jantung pula. Usaha menyelamat sedang dijalankan oleh Doktor Pakar.
Marilah bersama-sama kita berdoa ke hadrat Ilahi semoga Mak Jang Rohani cepat sembuh dan di jauhkan dari segala bencana...amin!!!
Kepada Pak Jang Bakar sekeluarga, berbanyak-banyaklah bersabar dengan ujian Allah ini.
Kepada sesiapa yang ada kelapangan untuk melawat:-
Beliau kini berada di Wad 6B, katil 15, Hospital Serdang.
Maklumat lanjut boleh hubungi Pak Jang Bakar di talian : 019-3022 683.
Sekian, terima kasih.
Sabtu, 30 April 2011
Sekitar Majlis Perkahwinan Megawati Bte Jamil
Rabu, 27 April 2011
Al-Fatihah
Bertemu lagi di dada blog tercinta ini, harapan dan doa saya semoga kaum kerabat semua dilindungi Allah selalu.
Semalam, 26hb. April, 2011 kita dikejutkan oleh berita sedih dengan kembalinya salah seorang menantu Tok Wan Lebai Din kerahmatullah. Allahyarhamah Mak Cik Putih yang menetap di Langkawi adalah merupakan isteri kepada Pak Cik Hassan. Kembali kerahmatullah akibat sakit tua.
Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah ke atas rohnya...semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman...amin.
Selebihnya...semoga ahli keluarganya akan tabah dan sabar serta redha dengan pemergiannya.
Kepada kaum kerabat yang sempat mengunjungi jenazah serta kaum keluarganya...diucapkan berbanyak-banyak terima kasih...kepada yang tidak berkesempatan, diharap dapatlah memanjatkan doa buat arwah dan keluarganya.
"Daripada DIA kita datang...Kepada DIa jualah kita akan kembali"
Wabillahitaufik...walhidayah...assalamualaikum w.b
Jumaat, 22 April 2011
Sajian Tradisional
Apa habaq kaum kerabat Tok Wan semua???
Harapan dan doa saya semoga semuanya beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan di samping keluarga tercinta....
Apa celoteh kita pagi ni???
Ce tengok baik-baik gambar sebelah ni....rasa-rasanya pernah ke kita menjamah makanan seperti ini @ bilakah kali terakhir kita berpeluang menjamu selera bersama-sama menu sebegini???
Tentu sesetengah dari kita terutama anak-anak kecil tertanya-tanya apakah menu makanan di atas?. Bilakah masa yang paling sesuai menjamah menu tersebut??. Di manakah boleh kita perolehi makanan ini???.
Buat anak-anak semua..., inilah yang dinamakan Makanan Tradisi santapan nenek moyang kita dahulu...kini...dan selamanya, dijamah ada kalanya diwaktu pagi (sarapan) atau tatkala menghadapi minum petang sambil bersantai bersama-sama keluarga. Menunya??? pulut tanak gaul kelapa (nyior), ikan pekasam @ ikan masin dan air teh "O".
Teringat saya suatu ketika dahulu tatkala saya masih kanak-kanak, arwah mak dan ayah selalu bawa makanan ini ke sawah (bendang) sebagai bekalan dan kami makan bersama-sama sekitar pukul 10.00pagi semasa berehat sebentar dari mengerjakan sawah padi. Sekarang saya rindukan semuanya itu dan tak mungkin dapat ulangi kenangan manis ini. Jika terlalu rindukan sangat, saya akan sediakan menu ini dan ajak anak-anak makan bersama-sama. Alhamdulillah kedua-dua anak saya dan isteri saya juga sukakan menu masakan ini.
Buat semua..."tradisi kita hak kita"....jangan sesekali kita lupa @ biarkan dia pupus ditelan zaman. Segarkan ia semula...supaya generasi akan datang sentiasa ingat pada adat resam serta tradisi nenek moyang kita.
Sekian...yang baik datangnya dari Dia yang Maha Esa dan yang buruk kelemahan saya sendiri...
Bertemu lagi di lain coretan...
Assalamualaikum wb.
Selasa, 12 April 2011
Jom pakat ramai-ramai p kolompo (JPRRPK)
Sudah agak lama saya tak berceloteh di dada Blog ini...
Entah kenapa tiba-tiba rasa rindu pulak untuk berceloteh sesuatu di sini...tapi tak ada isu panas untuk dikongsikan bersama...cuma,
Dengar khabar Tok Wan Lebai akan menerima seorang lagi cicit menantu hujung bulan ni. Kebetulan....majlis persandingan dan jamuan akan diadakan di Kolompo...hah!!! peluang keemasan untuk semua kaum kerabat bertandang ke Kolompo pulak kali ini. Apa macam??? Kali ni boleh datang tak???
Kepada sesiapa kaum kerabat yang telah menerima kad jemputan @ panggilan...harap dapat meluangkan masa hadir, memandangkan Kolompo terletak di tengah-tengah, jadi marilah kita beramai-ramai pakat berkunjung disamping mengeratkan lagi siraturrahim sesama suku sakat Tok Wan Lebai Din.
Kepada sesiapa yang masih belum menerima jemputan @ panggilan..harap bersabar. Mungkin kad belum sampai lagi. Maafkan saya sebab kali ini saya tak diwakilkan oleh tuan rumah...jadi tak bolehlah saya pandai-pandai menjemput!!! Lagipun majlisnya cuma akan diadakan pada hujung bulan ini..(30/04/2011), lambat lagi...masih punya banyak waktu.
Kepada kaum kerabat, cucu-cicit yang baru-baru ini telah mendapat tahu keputusan UPSR, PMR, SMA, SPM, STPM dan STAM, sebelum saya lupa...saya ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH!! kepada yang mendapat keputusan yang cemerlang. Kepada yang kurang cemerlang, usah berputus asa...redha dan cuba dan usaha lebih kuat lagi pada peperiksaan akan datang. Tak cemerlang kali ini bukan bererti tak akan cemerlang selama-lamanya...mesti yakin yang "CUCU-CICIT LEBAI DIN BOLEH...PASTI BOLEH!!!".
Sekian dahulu buat kali ini. Bertemu lagi di lain coretan.....
Wassallam....
Sabtu, 19 Mac 2011
Syukur Alhamdulillah...
Bersua kembali di laman ini, semoga semua kaum kerabat berada dalam kandungan sihat hendaknya..
Adapun setelah bertungkus lumus dan berhempas pulas akan sekelian ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta orang-orang kampung Sg. Batu, Pantai Remis....maka terlaksanalah akan hajat tuan rumah ( Rusna Bt Md. Isa ) mengadakan majlis keramaian menyambut menantunya dua orang sekaligus disamping menjamu sekelian orang kampung serta sanak saudara.
Jelas menampakkan di mata akan kepuasan hatinya serta suami dan anak-anak seisi keluarga setelah semuanya berjalan dengan lancarnya. Dengan cuacanya yang begitu baik sekali, tidak panas, hanya gerimis seolah-olah mengiringi akan ketibaan pasangan kedua-dua mempelai tatkala kedua-dua rombongan dari Kelantan dan Johor tiba.
Sanak-saudara jauh dan dekat, tua dan muda yang dah sekian lamanya tidak berjumpa....ambil kesempatan berbual mesra..bertanya khabar dan berita...mengeratkan hubungan sesama. Yang lansung tak pernah jumpa pun ada, yang tak kenal tak sangka terjumpa, mengimbau kenangan lama...emak ayah dan orang-orang tua, jadi bualan dan penggamit memori..sungguh indah segala.
Dikesempatan ini...ingin saya menzahirkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada semua, terutama kaum kerabat yang telah sudi meluangkan masa untuk hadir bersama...
Semoga kita akan teruskan dari masa ke masa, hubungan yang telah terjalin sekian lamanya..Moga cucu-cicit Tok Wan Lebai Din akan terus berkembang dan berkembang menjadi satu organisasi yang akan sentiasa di hati kita semua...amin
Sekian....bertemu lagi di lain coretan
Wassallam...
Rabu, 2 Mac 2011
Walimatulurus
Apa habaq semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din???
Harapan saya semoga semuanya beroleh kesejahteraan di samping keluarga tercinta.
Sukacita saya maklumkan saya telah diwakilkan oleh Kak Rusna Bt Md. Isa dan Abang Abu Hassan Bin Osman sekeluarga menjemput semua kaum kerabat seisi keluarga menghadiri Majlis Perkahwinan anak lelaki mereka, Norazam Bin Abu Hassan dan Mohd. Ariff Bin Abu Hassan di rumah mereka di alamat: 111, Jalan permatang Jambu, Kg. Sg. Batu, Pantai Remis, Perak pada hari Sabtu, 19hb. Mac, 2011 bersamaan 14 Rabiul Akhir, 1432H ini.
Dengan kehadiran semua kaum kerabat seisi keluarga dapatlah memeriahkan lagi majlis tersebut disamping dapat mengiratkan tali persaudaraan di antara kita...insyaAllah..
Saya amat berharap agar undangan ini dapat disampaikan atau dipanjangkan kepada kaum keluarga kita yang tidak dapat membaca Blog ini oleh sesiapa sahaja yang membaca Blog ini. Semoga hasrat tuan rumah untuk menjemput semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din tercapai...insyaAllah.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi saya di talian: 012 - 987 2856 atau 013 - 2323 276
Sekian...saya sudahi dengan wabillahitaufik...walhidayah...wasallam....
Selasa, 1 Mac 2011
Jumaat, 25 Februari 2011
Salam Ingatan Kasih Mesra...
Rasanya dah agak lama saya tak berceloteh di sini...mungkin agak sibuk dengan tugas harian dan selebihnya agak kekurangan info untuk dikongsikan bersama di sini...
Entah kenapa hati ini tiba-tiba rasa rindu...., rindu yang teramat sangat pada kaum kerabat yang telah agak lama tidak bersua. seingat saya kali terakhir saya bersua pada Hari Raya Haji yang lalu. Semasa menziarahi keluarga arwah Pak Long Mat tempoharipun ramai yang tak sempat bersua kerana saya tiba agak lambat (kereta rosak). Dan yang paling terkini semasa menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya (anak kak zurina) di Johor.
Dengar khabar, Majlis perkahwinan anak kak zurina akan diadakan di rumahnya di Perak pada pertengahan bulan depan (Mac) ni. Dua pasang sekali gus...macam Pak Jang Bakar jugak.
Harapan saya agar ramai kaum kerabat yang dijemput akan hadir, dapatlah saya melepaskan rindu saya pada semua....
Kalau diberi kesempatan, mungkin kita boleh berbincang untuk mengaturkan pertemuan semua kaum kerabat Tok Wan Lebai Din.
Sehingga berjumpa lagi...salam kasih sayang dari saya....cuculebaidin@yahoo.com